'Bincanglah untuk selesaikan isu Duta Enclave' - Hakim

Shamsul (kiri) dan Cyrus hadir ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Khamis, bagi prosiding rayuan kerajaan terhadap keputusan mahkamah yang mengarahkan tanah di Duta Enclave diserahkan kepada Semantan Estate.
Shamsul (kiri) dan Cyrus hadir ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Khamis, bagi prosiding rayuan kerajaan terhadap keputusan mahkamah yang mengarahkan tanah di Duta Enclave diserahkan kepada Semantan Estate.
A
A
A

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis berharap, kerajaan dan Semantan Estate Sdn Bhd berbincang dalam isu pertikaian pemindahan tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur dengan segera.

Panel tiga Hakim diketuai Datuk Lee Swee Seng berkata demikian selepas menetapkan prosiding rayuan, ditangguhkan ke 7 November depan.

Ia membabitkan permohonan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan tanah yang dipertikaikan terbabit, diserahkan kepada Semantan Estate.

Ia membabitkan kawasan yang dikenali sebagai 'Duta Enclave' kepada pemilik asal syarikat itu, yang menempatkan antaranya bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Arkib Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan.

Swee Heng yang bersidang bersama Datuk Azimah Omar dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, pada tarikh sama, mahkamah akan mendengar dua permohonan rayuan yang difailkan Semantan Estate dan kerajaan.

"Ini merupakan isu yang besar, namun saya berbesar hati apabila pihak-pihak memaklumkan terdapat rancangan untuk rundingan bersama.

“Jadi, sementara menunggu tarikh berkenaan, mahkamah berharap kedua-dua pihak dapat berbincang untuk menyelesaikan isu ini,” katanya setelah membenarkan permohonan penangguhan daripada Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili Kerajaan.

Dalam prosiding berkenaan, Semantan Estate membuat permohonan iaitu permohonan mandamus iaitu perintah pemindahan hak milik manakala rayuan kerajaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi berhubung pemindahan tanah, pada 7 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Semasa prosiding, Shamsul berkata, permohonan berkenaan dibuat memandangkan rundingan mengenai tanah yang sebelum ini dikenali sebagai Jalan Duta di Mukim Batu Kuala Lumpur bersama Semantan Estate masih berlangsung.

“Yang Arif, kerajaan memohon supaya prosiding hari ini ditangguhkan kerana rundingan masih dijalankan.

“Bagaimanapun, saya tidak dapat mendedahkan maklumat rundingan berkenaan secara terperinci,” katanya yang meminta agar prosiding dibuat pada November.

Sementara itu, peguam, Datuk Dr Cyrus Das yang mewakili Semantan Estate berkata, kes perlu diteruskan pada prosiding akan datang demi mencapai keadilan.

“Ia membabitkan perintah mahkamah pada 2009, maka sudah 15 tahun ia berlalu, perintah itu diterima pakai dan dihentikan sementara hanya kerana rayuan di pihak kerajaan,” katanya.

Pada 7 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pelikuidasi Semantan Estate untuk mendapatkan semula tanah yang menempatkan beberapa kompleks bangunan kerajaan kepada syarikat berkenaan.

Hakim yang sama, memutuskan demikian selepas mahkamah membenarkan permohonan syarikat terbabit untuk menguatkuasakan perintah 2009.

Menerusi keputusan penghakimannya, beliau memerintahkan kerajaan melaksanakan syarat yang diminta dalam tempoh tiga bulan penghakiman berkenaan.

Beliau juga membenarkan pelikuidasi syarikat sebagai pemilik asal tanah dan kerajaan diarah membayar kos sebanyak RM50,000.

Mahkamah juga membenarkan permohonan syarikat selaku plaintif, agar kerajaan mendaftarkan pelikuidasi Ladang Semantan sebagai pemilik rasmi tanah dan bebas daripada bebanan.

Ia termasuk kertas kerja undang-undang yang diperlukan secara lengkap untuk memindahkan hak milik tanah, mengeluarkan hak milik tanah baru atas nama pelikuidasi dan mengembalikan pemilikan fizikal tanah kepada pemilik sah.

Keputusan itu sekali gus menyelesaikan pertikaian tanah sivil antara paling lama di Malaysia sejak merdeka iaitu selama hampir tujuh dekad.

Pada tahun 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan, mendakwa berlaku pencerobohan disebabkan pengambilan tanah secara haram daripada syarikat itu.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman, Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan berfaedahnya dalam tanah itu yang telah diambil secara tidak sah oleh kerajaan.

Kerajaan kemudian memfailkan rayuan, namun ia ditolak pada 18 Mei 2012.

Kemudian pada 21 November 2012, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan untuk mendapatkan kebenaran merayu, berhubung keputusan itu.

Enam tahun kemudian iaitu pada 2018, Mahkamah Persekutuan sekali lagi menolak permohonan kerajaan untuk menyemak semula keputusannya sebelum ini.

Semantan Estate memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Tanah Wilayah Persekutuan pada Februari 2017 untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi 2009.

Kerajaan juga telah mencadangkan penyelesaian berhubung pertikaian tanah itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!