Ketepikan politik bantu mangsa banjir di Tasek Gelugor - Wan Saiful

Keadaan banjir di kawasan Tasek Gelugor.
Keadaan banjir di kawasan Tasek Gelugor.
A
A
A

BUTTERWORTH - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyeru agar semua pihak hentikan budaya ambil kesempatan politik atas bencana yang berlaku di negeri ini, sebaliknya beri tumpuan kepada membantu mangsa tanpa mengira parti.

Beliau mendakwa ada segelintir pihak cuba mempolitikkan keadaan dengan mengambil kesempatan dan membuat dakwaan palsu, seolah-olah mereka saja yang melakukan segala-galanya.

Menurutnya, sikap menidakkan sumbangan orang lain adalah akhlak buruk yang melarikan perhatian daripada objektif sebenar iaitu membantu mangsa yang terlibat.

"Budaya kerjasama tanpa mengira latar belakang parti, agama atau bangsa adalah satu budaya mulia yang perlu diteruskan, bukan saja di Tasek Gelugor tapi di seluruh negara.

"Dalam menghadapi bencana, kita ketepikan perbezaan dan tumpu kepada usaha membantu. Hari ini jelas kelihatan betapa agensi-agensi gigih membantu mangsa dengan sokongan pelbagai pihak termasuk kami di Pusat Khidmat Parlimen Tasek Gelugor," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Pegawai JKM ketika memantau keadaan banjir di sekitar Tasek Gelugor pada Khamis.
Pegawai JKM ketika memantau keadaan banjir di sekitar Tasek Gelugor pada Khamis.

Beliau berkata, beberapa lokasi dalam Parlimen Tasek Gelugor dilanda banjir teruk dan banyak keluarga terkesan.

Katanya, beliau telah berhubung dengan beberapa agensi yang berkaitan, khususnya kementerian yang terlibat mengenai keperluan peruntukan tambahan bagi perbelanjaan luar jangka untuk perhatian kerajaan Pusat.

Artikel Berkaitan:

"Ini berikutan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencara Pulau Pinang setakat semalam, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Seberang Perai bertambah daripada tujuh kepada 11 PPS susulan peningkatan mangsa banjir," katanya lagi.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, beliau telah meminta beberapa NGO turut memberi bantuan segera ke kawasan-kawasan terkesan bagi membantu dan mengagihkan keperluan asas mangsa banjir terlibat.

Jelasnya, ada mangsa perlu tempat tinggal sementara dan semuanya perlu bantuan pembersihan rumah pasca banjir.

Sehubungan itu, beliau mohon kerajaan Pusat dan kerajaan negeri meneruskan misi membantu mangsa banjir di Tasek Gelugor yang sekarang sedang berjalan dengan baik.

Tambahnya, usaha yang sedang berjalan mesti diteruskan teruskan selain berharap kerajaan Pusat dan kerajaan negeri mempermudahkan kelulusan peruntukan kewangan serta peralatan bantuan tambahan yang diperlukan demi kebaikan warga Tasek Gelugor.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!