'Saya tidak buat penggantian pemain melalui tinjauan pendapat'

Postecoglou
Postecoglou
A
A
A

ANGE Postecoglou mempertahankan tindakan melakukan lapan pertukaran Tottenham Hotspur penghujung perlawanan bagi mengesahkan kemaraan ke pusingan keempat Piala Liga apabila menewaskan Coventry City 2-1 di Coventry Building Society Arena pada Khamis.

Destiny Udogie, Rodrigo Bentancur dan Dominic Solanke tiga watak dikekalkan Tottenham daripada skuad tewas 0-1 kepada Arsenal dalam derbi utara London Ahad lalu, di ambang penyingkiran sebelum gol lewat pemain gantian Djed Spence (m-88) dan Brennan Johnson (m-92) memadamkan pendahuluan Brandon Thomas-Asante (m-63) untuk kelab Liga Kejuaraan berkenaan.

Penjaga gol, Fraser Forster membuat penampilan pertamanya selepas setahun, manakala Ben Davies, Radu Dragusin dan bintang remaja Archie Gray membarisi pertahanan berwajah baharu, dan permulaan buat Timo Werner dibantu pelapis Lucas Bergvall dan Wilson Odobert.

Sebagai rekod, kunjungun ke laman Coventry merupakan permulaan kepada tujuh perlawanan Tottenham dalam tempoh 21 hari dan, ditanya mengenai pemilihannya, Postecoglou menegaskan satu keperluan buat mendapatkan minit untuk pemain-pemainnya.

"Apa yang saya selalu cuba lakukan adalah apa yang saya percaya adalah perkara yang betul dan terbaik buat kelab.

“Perkara terbaik untuk kami, dari segi apa yang cuba capai, dan anda tahu bahawa tiada jaminan dengan apa-apa yang anda lakukan dalam dunia bola sepak.

"Tetapi apa yang saya selalu lakukan ialah mengembalikan keputusan dalam masa kritikal untuk sentiasa melakukan apa yang saya percaya terbaik. Dan jika ia tidak berjaya, saya boleh hidup dengan itu.

"Tetapi saya pastinya tidak akan menjejaskan apa yang kita cuba bina di Tottenham dengan melakukan sesuatu yang akan membuatkan saya kelihatan seperti berada dalam kedudukan yang lebih selamat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Postecoglou lagi, Tottenham akan mengharungi jadual padat bermula minggu depan yang memerlukan dia melakukan keputusan yang kurang popular dalam kalangan penyokong-penyokong.

“Kami perlu mendapatkan masa permainan dan malam ini, beberapa pemain utama mendapat minit yang baik bermakna apabila kami perlu membuat perubahan ke hadapan, mereka sudah bermain dan mereka bersedia untuk bermain selepas ini.

"Saya tidak membuat penggantian melalui tinjauan pendapat. Jadi, saya pasti penyokong-penyokong mempunyai pendapat mereka sendiri, tetapi ya, Lucas Bergvall, itulah masa permainan pertamanya yang penting setelah beberapa lama," katanya.

Sementara itu, Postecoglou mengakui Tottenham terpaksa bertahan di laman The Sky Blues tetapi percaya pemain-pemainnya menunjukkan watak untuk memastikan kebangkitan semula lewat permainan.

"Saya fikir ia adalah permainan piala biasa. Saya percaya Coventry City sebuah pasukan yang sangat bagus. Mereka memberikan sedikit tenaga sebenar ke dalam permainan, dan kami tidak dapat menguasainya. Jadi kami terpaksa bertahan di sana.

“Kami terpaksa bekerja dengan sungguh-sungguh hanya untuk kekal dalam permainan dan jelas ketinggalan satu gol menjadikannya lebih mencabar. Pada penghujungnya, kami menunjukkan semangat dan perwatakan sebenar, yang mungkin telah hilang dalam empat perlawanan pertama.

"Kami mempunyai prestasi, tetapi kami tidak mempunyai kesungguhan untuk mendapatkan keputusan. Anda rasa bahawa dalam 10 minit terakhir, kami mendapat kepercayaan sebenar daripada itu, dan mudah-mudahan itu adalah petanda yang baik untuk bergerak ke hadapan selepas ini," tambah Postecoglou.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!