Usaha bina jalan pintasan terbantut, pemaju didakwa enggan serah tanah - Exco

Zairil (kiri) bersama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Datuk Dr Amar Pritpal Abdullah menunjukkan pelan jalan pintasan tersebut dalam sidang akhbar pada Khamis.
Zairil (kiri) bersama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Datuk Dr Amar Pritpal Abdullah menunjukkan pelan jalan pintasan tersebut dalam sidang akhbar pada Khamis.
A
A
A

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Usaha kerajaan Pulau Pinang untuk membina Jalan Pintasan Bandar Tasek Mutiara-Hijauan Hills terbantut selepas pemaju berkaitan didakwa enggan menyerah tanah tersebut dengan memberi pelbagai alasan.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, mengikut pelan induk asal bandar tersebut, lot 25706 seluas 0.47 hektar itu perlu dibina jalan pintasan bagi menghubungkan kedua-dua jalan berkenaan.

Bagaimanapun Zairil berkata, pemaju enggan membina jalan pintasan tersebut menyebabkan kerajaan negeri mewartakan untuk pengambilan balik tanah berkenaan.

"Mengikut pelan induk asal, pemaju sepatutnya membina jalan pintasan di tanah tersebut namun mereka enggan. Disebabkan kerajaan negeri menerima banyak aduan dan rungutan penduduk termasuk pihak sekolah dan persatuan penduduk, kerajaan negeri menyatakan hasrat untuk mengambilnya.

"Bagaimanapun, pemaju tidak bersetuju lalu membawa kes ke mahkamah. Pemaju telah memfailkan dua permohonan semakan kehakiman pada tahun lalu.

"Dalam pada itu, pihak berkuasa negeri telah membuat pewartaan untuk pengambilan tanah bagi tujuan pembinaan jalan pintasan tersebut," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Komtar pada Khamis.

Zairil menambah, kedua-dua permohonan semakan kehakiman telah didengar dan ditolak oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

"Pemaju sekali lagi memfailkan semakan kehakiman terhadap pengambilan tanah lot itu. Mahkamah Tinggi telah memberikan kebenaran kepada pemaju untuk memulakan sekali kali permohonan semakan kehakiman.

Artikel Berkaitan:

"Mahkamah Tinggi telah memberikan perintah 'stay' secara ad interim supaya tiada pengambilan tanah dijalankan.

"Kemudian, pemaju memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pula yang mana, mahkamah membenarkan permohonan pemaju supaya pemeliharaan atau penggantungan interim diberikan untuk menghalang PBT daripada menjalankan dan (atau) proses pengambilan tanah," jelasnya lagi.

Beliau berkata, pendengaran rayuan hanya dijadualkan pada 3 Julai tahun depan.

"Ini bermakna, tiada pengambilan tanah boleh dibuat sepanjang tempoh ini sehingga Julai tahun depan. Kerajaan negeri cuba berlembut dengan membuat beberapa perjumpaan dan perbincangan dengan pihak pemaju, namun mereka memilih untuk membawa kes ke mahkamah.

"Kerajaan negeri tetap komited untuk meneruskan projek pembinaan jalan pintasan yang menghubungkan Jalan Tasek Mutiara 10 ke Jalan Hijauan Hills demi kebajikan penduduk serta kemudahan orang awam.

"Bagaimanapun, kita perlu menunggu proses perbicaraan kes berkaitan selesai di mahkamah. Kerajaan negeri perlu mematuhi semua undang-undang berkaitan dan tidak boleh mengambil tanah mana-mana pihak sesuka hati walaupun untuk tujuan kepentingan awam," katanya.

Ujar beliau, kerajaan negeri prihatin dengan masalah lebih 16,000 penduduk di kawasan terbabit yang terpaksa menggunakan jalan yang lebih jauh selain perlu menempuh kesesakan jalan raya selagi jalan pintasan itu tidak dibina.

"Kita faham, penduduk perlu pusing sejauh 4 kilometer yang mana, mereka perlu melalui Jalan Tasek dan Jalan Valdor hanya untuk ke sekolah dan kawasan sekitar.

"Mereka juga akan tersekat dalam kesesakan jalan raya kerana semua penduduk di situ hanya menggunakan satu jalan sahaja.

"Sekiranya jalan pintasan ini dibina, selain lebih dekat, ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesesakan jalan raya di kawasan itu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!