Jangan tolak tawaran universiti kerana kekangan kewangan - Zambry
SHAH ALAM - Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memberi jaminan untuk membantu pelajar miskin dan tidak berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke universiti.
Beliau berkata, arahan telah dikeluarkan kepada semua pentadbir universiti agar menerima kemasukan pelajar miskin dan daif yang tidak berkemampuan.
Menurutnya, antara bantuan segera yang boleh dilakukan adalah dengan menyalurkan wang pendahuluan bagi membolehkan pelajar mendaftar diri sebagai mahasiswa baharu di universiti berkenaan.
“Jangan jadikan masalah wang sebagai alasan untuk tolak tawaran kemasukan ke universiti.
"Masuk dahulu, kemudian kita akan uruskan termasuk melalui bantuan awal Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya menerusi rakaman video dimuat naik di laman Facebook milik Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada Khamis.
Zambry berkata, salah satu pendekatan PTPTN ialah membantu pelajar miskin dengan menyalurkan wang pendahuluan bagi membolehkan pelajar membayar yuran pendaftaran kemasukan ke universiti.
“Saya tak mahu dengar lagi kisah mereka yang berjaya tidak dapat masuk ke universiti.
"Saya masih ingat, saya juga dari latar belakang seperti itu, saya tahu tentang kesusahan itu.
“Jadi saya tak mahu ia dijadikan alasan untuk saudara/saudari tidak mahu masuk universiti, saya sudah arahkan pihak universiti supaya terima anda terlebih dahulu, selepas itu kita susun bantuan bersesuaian,” katanya.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkata, jangan jadikan alasan kekangan kewangan sebagai halangan untuk menyambung pengajian.
“Saya menerusi banyak emel dan mesej di laman sosial tentang perihal tidak cukup wang untuk masuk universiti.
“Jangan jadikan kemiskinan dan masalah kewangan sebagai kekangan, sesungguhnya hanya ilmu sahaja yang boleh merubah hidup kita dan keluarga,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!