Penyelia keselamatan tak mengaku salah guna harta syarikat

Tertuduh (kiri) ketika hadir di Mahkamah Butterworrh pada Khamis.
Tertuduh (kiri) ketika hadir di Mahkamah Butterworrh pada Khamis.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang penyelia keselamatan tapak binaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menyalahguna harta syarikat berjumlah RM5,000 dua tahun lalu.

Tertuduh, Ku Muhamad Alif Ezham, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya menyalahguna harta syarikat iaitu wang berjumlah RM5,000 untuk kegunaan sendiri pada 26 April 2022.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di PLB Green Construction Sdn Bhd, Menara BHL Bank, Jalan Sultan Ahmad Shah dalam daerah Timur Laut, Georgetown.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan sebatan serta denda.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee mencadangkan tertuduh diikat jamin RM10,000 berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM setiap awal bulan selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Nur Syahana Ismail memohon agar jaminan ditetapkan sebanyak RM5,000 dengan memberi alasan tertuduh perlu menyara ibu, isteri dan seorang anak.

Malah, tertuduh dikatakan masih bekerja dengan majikan sama selain perlu menjalani rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah ekoran sakit tulang belakang yang dialaminya.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Oktober depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!