Peniaga selamatkan budak tiga tahun daripada dihempap bumbung
KUANTAN - Perasaan gelisah dan tidak sedap hati seorang peniaga ketika melihat seorang budak perempuan duduk di atas kerusi bayi keseorangan di gerai bersebelahan rumahnya berjaya menyelamatkan kanak-kanak terbabit daripada dihempap bumbung dalam kejadian hujan lebat dan ribut kuat pada Selasa.
Rosmarina Derahman, 43, berkata, ketika itu hujan lebat dan ribut kuat, dia bertindak membawa kanak-kanak itu masuk ke dalam rumahnya sebelum mendengar satu hentakan dari gerai berkenaan.
"Tidak sampai beberapa minit saya ambil budak itu, bumbung betul-betul runtuh di atas kerusi bayi terbabit. Mujur saya sempat ambil dia.
"Ribut kuat itu boleh 'mengangkat' bumbung zink sebelum menghempas semula sehingga ada tiang yang patah dan roboh," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Khamis.
Menceritakan detik cemas, ibu kepada tiga anak itu berkata, kejadian berlaku begitu pantas, bagaimanapun dia bersyukur kerana tiada kehilangan nyawa, selain tiada pelanggan berada di dalam gerai terbabit.
Tambahnya, tukang masak yang berada di ruang dapur gerai juga sempat menyelamatkan diri selepas mendengar bunyi kuat sebelum bumbung gerainya runtuh.
Dalam pada itu, Rosmarina mengakui dia perlu berlapang dada apabila terpaksa mengeluarkan belanja bagi membaiki kerosakkan yang dialam di gerainya itu.
"Dua bulan lalu, saya sudah labur wang hampir RM55,000 untuk ubah suai gerai ini, tapi kali ini saya diuji pula dengan kerosakan akibat ribut kuat.
"Mahu tidak mahu saya perlu membaikinya, jika tidak susah untuk saya berniaga semula. Jadi, anggaran kos baik pulih mungkin lebih RM10,000 dan akan mengambil sedikit masa untuk dibaiki," jelasnya.
Terdahulu, kejadian ribut kuat di kawasan berkenaan turut menyebabkan seorang wanita warga emas maut apabila sebatang pokok rhu tumbang di tapak perkhemahan Kem Nemo Balok yang berada kira-kira 1 kilometer dari rumah Rosmarina.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!