Jauhi homoseksual, perbuatan keji dilarang agama

ISLAM begitu melarang keras perbuatan homoseksual yang disebutkan dengan jelas menerusi al-Quran. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
ISLAM begitu melarang keras perbuatan homoseksual yang disebutkan dengan jelas menerusi al-Quran. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
A
A
A

PERBUATAN homoseksual iaitu hubungan terhadap kaum sejenis begitu bertentangan dengan fitrah manusia yang diciptakan oleh ALLAH SWT.

Menerusi infografik yang dikongsikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada Rabu, pemilik kerajaan langit dan bumi itu dengan jelas melarang perilaku tersebut dalam al-Quran.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Mengapa kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan untuk memenuhi syahwat? (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (tidak mengetahui akan akibatnya).” (Surah an-Naml: 55)

INFOGRAFIK tentang larangan homoseksual yang dikongsikan oleh JAKIM di laman sosial Facebook miliknya pada Rabu.
INFOGRAFIK tentang larangan homoseksual yang dikongsikan oleh JAKIM di laman sosial Facebook miliknya pada Rabu.

“Sebagai hamba-NYA, kita diwajibkan menjaga fitrah yang telah ditetapkan. Perbuatan ini bukan sahaja keji, tetapi juga menunjukkan kejahilan yang merosakkan diri dan masyarakat.

“Jauhilah perkara terlarang dan pilihlah jalan yang diredai ALLAH SWT,” tulis JAKIM dalam hantaran tersebut.

Menyoroti historiografinya, pelaku pertama perlakuan homoseksual dalam kalangan lelaki mahupun wanita ialah kaum Nabi Luth AS.

Artikel Berkaitan:

Memetik artikel Bayan Linnas Siri ke-171: Kisah kaum Nabi Luth dan iktibarnya yang disiarkan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pakar sejarah menyebut, kaum Nabi Luth ialah kaum besar yang hidup pada zaman Nabi Ibrahim dan menetap di sebuah kampung bernama Sadum.

Artikel itu menyebut, bukan sahaja perbuatan hemoseksual, banyak lagi maksiat lain yang dilakukan oleh mereka seperti mensyirikkan ALLAH, melakukan perbuatan keji dan menyamun orang yang dalam perjalanan ke kampung mereka.

“Ia sehinggakan Ibnu Khatir dalam kitabnya, Al-Bidayah wa an-Nihayah menyebut ‘Mereka melakukan dosa yang belum pernah dilakukan oleh seorang pun daripada Bani Adam iaitu seorang lelaki menggauli lelaki dan enggan berkahwin dengan wanita yang ALLAH jadikan untuk orang-orang soleh’.

“ALLAH SWT menjadikan kisah binasanya kaum Luth akibat perbuatan keji mereka sebagai pengajaran bagi seluruh manusia yang disebut dalam beberapa tempat dalam al-Quran,” katanya.

Akibat daripada perbuatan songsang dan maksiat dilakukan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyebut, ALLAH telah membinasakan dua buah kota iaitu Sadum dan Amurah serta tiga kota lain yang berhampiran.

“Menerusi satu bab dalam majalah As-Siyasah al-Usbu’iyyah menyatakan, ALLAH SWT telah menghujani mereka dengan api dan belerang dari langit hingga tidak seorang pun penduduk di situ selamat kecuali Nabi Ibrahim AS bersama ahli keluarganya dan Nabi Luth AS serta kedua-dua anak perempuannya,” katanya.

Mengulas tentang implikasi perbuatan homoseksual, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, Dr Muhammad Wasfi dalam kitabnya, Al-Islam wa at-Tibb menyebut bahawa Islam melarang keras perilaku tersebut kerana ia mempunyai kesan negatif terhadap kehidupan peribadi dan masyarakat.

ALLAH SWT menurunkan azab berupa hujan batu kepada kaum Nabi Luth yang terkenal dengan perbuatan keji termasuk homoseksual dan kezaliman mereka. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
ALLAH SWT menurunkan azab berupa hujan batu kepada kaum Nabi Luth yang terkenal dengan perbuatan keji termasuk homoseksual dan kezaliman mereka. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

“Antara lainnya ialah seorang gay tidak mempunyai keinginan terhadap wanita. Andai mereka berkahwin, maka isterinya tidak akan mendapat kepuasan seksual biologi kerana minat seksual suami yang cenderung kepada lelaki.

“Akibatnya, hubungan suami isteri menjadi renggang tidak tumbuh cinta dan kasih sayang.

“Bukan itu sahaja, perasaan cinta antara sesama jenis membawa kelainan jiwa yang menimbulkan suatu sikap dan perilaku ganjil yang mana seorang gay kadang-kadang berkelakuan seperti lelaki dan pada masa sama seperti wanita,” katanya sambil menjelaskan homoseks juga boleh mengakibatkan kerosakan pada saraf otak, melemahkan akal dan menghilangkan semangat kerja serta mudah terjangkit pelbagai penyakit berbahaya.

Bagaimana pula jika kita berkawan dengan orang gay tanpa sedar selama bertahun-tahun dan hanya mengetahuinya baru-baru ini?

Dalam kes itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, tiada masalah untuk seseorang cakna kepada rakannya yang gay dengan cara mengambil berat, bertanya khabar, menolong dan memenuhi keperluannya dan pada masa sama, sentiasa menasihatinya.

Apatah lagi katanya, Islam merupakan agama yang mengangkat ukhuwah dan saling menghormati sesama manusia serta tidak suka kepada kebencian yang tidak berasas.

“Malah, Islam turut menganjurkan setiap manusia untuk saling mengingati antara satu sama lain dan membetulkan kesalahan mengikut keupayaan masing-masing,” katanya dipetik menerusi artikel Al-Afkar #128: Bolehkah saya berkawan dengan orang gay.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!