Tangkap 'imamnya', bukan sekadar 'jemaah' - Helmi

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Helmi Ibrahim
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Helmi Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk menangkap ketua sindiket yang membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menerusi modus operandi 'counter setting' atau 'laluan kaunter khas'.

Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Halal dan Keusahawanan Ummah Malaysia (MEH), Dr Helmi Ibrahim berkata, penglibatan 46 pegawai imigresen yang ditahan sebelum ini hanya barisan hadapan sahaja.

"Namun di belakang masih ada satu operasi 'war room' yang terancang dipayungi 'panglima perang' terdiri daripada orang atasan dalam birokrasi awam, ahli politik termasuk ahli perniagaan.

"Mereka (yang ditahan) hanyalah menurut perintah dari 'panglima perang' masing-masing.

"Walaupun sedar apa yang mereka lalukan adalah salah, namun sebagai 'jemaah' mereka tidak berani melanggar perintah 'imam'," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, 46 pegawai ini tidak langsung terlibat dalam transaksi tunai dan rasuah bawah kaunter.

Ujarnya, kumpulan tersebut menggunakan kaedah rasuah birokrasi yang mempunyai punyai sistem kredit dan debit antara aliran manusia dan wang.

"Ia amat canggih dengan rangkaian di luar negara yang turut melibatkan kedutaan. Transaksi kewangan berlaku di luar negara sebelum mereka sampai di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Wang yang ditemui oleh SPRM sebenarnya hanyalah tips. Kalau tidak masakan seorang pegawai rendah mampu memiliki kereta Bentley, seperti mana yang pernah didedahkan.

"Sudah sampai masanya SPRM menangkap 'imam' sindiket bukan sekadar jemaahnya sahaja," tegasnya.

Sebelum ini media melaporkan, SPRM merampas dan menyita wang tunai berjumlah RM766,693 daripada dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bergred rendah terbabit sindiket 'counter setting' yang disorokkan di bilik tidur masing-masing.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, wang ratusan ribu itu ditemukan selepas suruhanjaya itu menahan keduanya bersama 48 lagi pegawai agensi penguat kuasa kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket yang membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menerusi modus operandi 'counter setting' atau laluan kaunter khas.

Beliau berkata, bagi rampasan pertama, SPRM menyita wang tunai berjumlah RM518,250 yang dijumpai daripada seorang pegawai wanita JIM Kanan Gred KP22 di Pahang.

Bagi rampasan wang tunai kedua, menurutnya, wang tunai sebanyak RM248,443 dirampas daripada seorang pegawai lelaki JIM Gred KP19 di Melaka.

Menurut beliau, duit itu dijumpai di bawah katil bilik tidur utamanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!