[VIDEO] Op Global: 19 individu termasuk CEO GISBH, isteri direman seminggu

A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan isteri antara 19 individu direman bagi membantu siasatan berhubung tindakan mengeksploitasi dan pemerdagangan kanak-kanak.

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.

Perintah reman selama tujuh hari dikeluarkan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin terhadap kesemua suspek berusia 25 hingga 65 tahun.

Mereka yang direman terdiri daripada 12 lelaki dan tujuh wanita termasuk dipercayai anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad.

Pada prosiding tersebut, kesemua suspek tidak diwakili peguam dan permohonan reman dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesemua yang direman kemudiannya dibawa untuk tahanan di lokap berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan penahanan kesemua suspek dalam serbuan di sekitar Lembah Klang.

Artikel Berkaitan:

Mereka ditahan sekitar jam 5.40 pagi pada Khamis oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Sebelum ini, seramai 402 kanak-kanak yang diselamatkan polis dalam serbuan Op Global di 20 buah rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan.

Daripada jumlah tersebut, seramai 10 kanak-kanak dihantar ke rumah pelindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas mendapati mereka adalah orang kelainan upaya (OKU) dan autisme.

Pecahan jumlah mangsa adalah 202 lelaki dan 190 perempuan.

Proses saringan kesihatan telah dijalankan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Seramai 159 individu telah ditangkap membabitkan 39 lelaki dan 120 wanita.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!