Belanjawan 2025: MOF akan tambah peruntukan sektor pelancongan

Amir Hamzah (kiri) ketika ditemui pemberita selepas sesi libat urus bersama penggiat pelancongan Terengganu.
Amir Hamzah (kiri) ketika ditemui pemberita selepas sesi libat urus bersama penggiat pelancongan Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Kewangan (MOF) akan meningkatkan peruntukan untuk sektor pelancongan dalam Belanjawan 2025.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penambahan peruntukan tersebut sebagai persediaan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Berhubung jumlah peruntukan diberikan kena tunggu Belanjawan 2025 nanti.

"Tetapi dari segi dasarnya mestilah ada pertambahan untuk sektor pelancongan kerana tahun depan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025 selain bersedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Jadi bajet tahun ini kita akan menyediakan peruntukan mencukupi untuk memastikan kedua perkara tersebut berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi libat urus bersama penggiat pelancongan Terengganu berkenaan Belanjawan 2025 di Muzium Terengganu di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah menyatakan pihaknya akan menambah baik sektor pelancongan di seluruh negara pada belanjawan tahun hadapan.

"Kita akan ada Tahun Melawat Malaysia 2026 maka kena perbaiki serta ada penyelenggaraan infrastruktur di seluruh negara. Kita akan tengok yang mana dapat ditingkatkan lagi untuk beri keselesaan kepada pelancong.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga terima cadangan di mana kita mungkin boleh tolong mereka yang terlibat dalam industri tersebut untuk dapat sokongan dari segi galakan insentif atau meningkatkan kemahiran seperti menjadi pemandu pelancong yang berpengalaman.

"Macam mana kita nak tingkatkan kefahaman mereka tentang sejarah dan info yang menarik dan kita akan tengok bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk lonjakkan lagi industri pelancongan.

"Selain itu, permintaan untuk memperincikan infrastruktur kewangan yang bersesuaian kepada pemain sektor pelancongan," ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung penyaluran wang ihsan kepada kerajaan Terengganu, Amir Hamzah menjelaskan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berkongsi matlamat yang sama bagi membina serta memperkukuhkan ekonomi negara.

"Kami (MOF) dan kerajaan Terengganu sentiasa ada matlamat yang sama untuk membina dan menguatkan ekonomi negara malah dalam Parlimen sudah terangkan berkenaan wang ihsan tersebut.

"Kita sentiasa mencari jalan untuk bekerjasama dalam selesaikan isu seperti kemiskinan dan meningkatkan infrastruktur asas pada rakyat. Tiada isu 'You win I lose'. Ini soal macam mana kita boleh membina Malaysia," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!