Polis pantau operasi berkaitan GISBH di Sarawak

Mancha Ata. Foto Bernama
Mancha Ata. Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Polis Sarawak kini memantau rapi sebarang operasi berkaitan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, polis turut menjalankan siasatan terperinci dengan mengenal pasti operasi yang dijalankan oleh GISBH namun tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

"Belum ada lagi laporan berkaitan (GISBH) di Sarawak. Kes ini masih dalam pemantauan dan kita sentiasa bekerjasama dengan PDRM (Polis Diraja Malaysia) Bukit Aman," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.

Minggu lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH dan menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISB Holdings dalam Op Global itu mendapati mereka mengalami penderaan fizikal dan emosi serta eksploitasi buruh termasuk dipaksa bekerja menjual barang.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kemudian menitahkan PDRM supaya menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal GISBH. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!