USM sedia terima pelajar tak berkemampuan, pelbagai bentuk bantuan disediakan

USM telah bersedia dengan pelbagai bentuk sumbangan bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung para pelajar yang mungkin terkesan termasuk melalui Program Pembangunan Siswa SULUNG 3.0. Gambar kecil: Abdul Rahman
USM telah bersedia dengan pelbagai bentuk sumbangan bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung para pelajar yang mungkin terkesan termasuk melalui Program Pembangunan Siswa SULUNG 3.0. Gambar kecil: Abdul Rahman
A
A
A

GEORGE TOWN - Universiti Sains Malaysia (USM) sedia menerima pelajar yang tidak berkemampuan untuk menyambung pengajian ke universiti itu bagi memastikan hasrat mereka untuk ke menara ilmu berjaya direalisasikan.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed berkata, bagi menyokong usaha dalam mendukung hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melahirkan bakat terbaik negara, USM telah bersedia dengan pelbagai bentuk sumbangan bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung para pelajar yang mungkin terkesan.

"Antara bentuk bantuan yang disediakan termasuk kesediaan untuk menerima pelajar mendaftar di USM tanpa sebarang bayaran melalui Program Pembangunan Siswa SULUNG 3.0.

"Sementara itu, bakal pelajar lain yang tidak berkemampuan juga diberi peluang untuk mendaftar dahulu tanpa sebarang bayaran dan dengan kemudahan bayaran yuran secara ansuran mengikut kemampuan masing masing," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelasnya lagi, pada masa yang sama, USM juga akan menyalurkan bantuan lain menggunakan Tabung Kebajikan Pelajar, Tabung Zakat USM dan sebagainya.

"Jika ada mana-mana pelajar yang berada dalam kesusahan dan kebuntuan mencari sumber kewangan untuk menyambung pengajian ke USM, mereka diminta supaya segera menghubungi Unit Kebajikan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM bagi membolehkan bantuan awal disalurkan," katanya.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebelum ini mengarahkan semua pentadbir universiti menerima kemasukan pelajar miskin dan daif, termasuk menangguhkan bayaran yuran pendaftaran.

Beliau juga meminta pihak universiti menguruskan bantuan awal pengajian bagi mahasiswa yang tidak berkemampuan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!