Larangan guna telefon bimbit sudah ada, perlu seliaan pegawai - KPISM
SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menegaskan larangan penggunaan telefon bimbit bagi pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas di kaunter sememangnya sudah ada.
Timbalan Presiden KPISM, Mohammed Yuzaiman Ahmad berkata, pihak jabatan sudah lama mengeluarkan arahan tersebut berdasarkan Arahan Pentadbiran Bilangan 3 Tahun 2014 iaitu larangan membawa, menyimpan dan menggunakan alat komunikasi mudah alih semasa bertugas.
Bagaimanapun katanya, perkara tersebut memerlukan pemantauan rapi daripada pegawai penyelia.
"Tanpa penyeliaan dan pengawasan yang berkesan, perkara ini pasti tidak akan dapat dibendung.
"Sebenarnya, JIM tiada masalah dalam penguatkuasaan arahan ini. Cuma pada saya, ia memerlukan pemantauan lebih rapi dari sudut penguatkuasaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Bagi mengatasi kes yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, Mohammed Yuzaiman berkata, pihak kesatuan amat menyokong cadangan penggunaan kamera badan bagi meningkatkan tahap pemantapan integriti petugas.
Selain itu katanya, ia juga dapat membantu pengawasan terhadap kebajikan pegawai itu sendiri semasa berhadapan dengan orang awam serta pelancong.
Justeru katanya, penggunaan kamera badan perlu dikuatkuasakan segera sebagai langkah pencegahan supaya kes di KLIA tidak berulang.
"Antara langkah lain yang perlu diperbaiki adalah kemudahan intercom bagi penggunaan walkie talkie.
"Ini memudahkan pegawai bertugas merujuk kes atau jika ada kes kecemasan," ujarnya.
Tambahnya, setiap peraturan yang dilaksanakan oleh JIM perlu selari dengan aspek kebajikan buat pegawai-pegawai yang bertugas.
Pada Rabu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan supaya kakitangan imigresen yang bertugas di KLIA dilarang menggunakan telefon bimbit bagi mengelak daripada dihubungi pihak lain.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, perkara itu merupakan cadangan penambahbaikan yang akan dikemukakan kepada pihak JIM.
Tegas beliau, cadangan itu bagi mengatasi kelemahan operasi penguat kuasa JIM yang bertugas di pintu masuk negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!