MAIK siasat tanah kubur diceroboh

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Hasnan
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Hasnan
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sedang menyiasat dakwaan berkaitan pencerobohan Tanah Perkuburan Islam Mukim Paun Panji dekat sini.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Hasnan Ramli berkata, MAIK sudah melakukan pemantauan di lokasi terbabit dan kini dalam siasatan untuk tindakan lanjut.

Beliau memberitahu, sebelum ini tiada sebarang permohonan rasmi untuk melaksanakan pembangunan di kawasan tanah perkuburan berkenaan.

"Kita akan lihat dalam beberapa aspek termasuk sempadan tanah perkuburan itu sebelum sebarang tindakan diambil," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Media sebelum ini melaporkan sebuah kubur lama berusia lebih 100 tahun didakwa diceroboh sejak dua minggu untuk pembangunan kawasan berkenaan.

Penduduk turut mendakwa dilakukan sejak tiga tahun lalu termasuk membina pagar dan batu nisan dilihat berselerak di sekitarnya.

Mengulas lanjut, Hasnan berkata, pemeriksaan awal mendapati tanah perkuburan itu tidak diwakafkan kepada individu sebaliknya tanah kerajaan yang sudah lama terbiar.

"Kita sudah membuat permohonan kepada pentadbir tanah untuk mengesahkan sama ada sudah dibuat pewartaan atau sebaliknya," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!