'Perbuatan Lokman Adam dedah rahsia parti salah, tak bertanggungjawab'
KUALA LUMPUR - Perbuatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendedahkan rahsia parti kepada umum adalah salah dan tidak bertanggungjawab.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, tindakan Lokman menghebahkan perkara disebut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu mesyuarat tertutup semalam seolah-olah cuba memanipulasikan pelbagai isu, situasi serta membuat kenyataan terbuka dan melulu.
Menurutnya, tindakan Lokman itu tidak profesional malah boleh merosakkan imej parti yang sentiasa berpegang kepada prinsip.
"Apatah lagi Presiden UMNO (Ahmad Zahid) hanya memberikan gambaran awal serta ingin mendapat pandangan dari pelbagai pihak berhubung perkara membabitkan kepentingan parti.
ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid perlu letak jawatan, kata Lokman Adam
"Belum ada sebarang keputusan atau tindakan dimuktamadkan oleh parti mengenai perkara itu. Apakah itu satu kesalahan sehingga Presiden UMNO dianggap melakukan satu pengkhianatan?," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Lokman mengeluarkan kenyataan membidas presidennya sendiri, Ahmad Zahid yang didakwa mahu bekerjasama dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya amat malu hari ini kerana mempunyai seorang presiden yang lemah dan tiada jati diri,” katanya dalam satu kenyataan.
Shamsul Anuar berkata, perbuatan Lokman boleh menimbulkan kekeliruan di peringkat akar umbi terutama membabitkan tuduhan ke atas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO kononnya menerima 'payrol' atau bayaran daripada pemimpin tertentu.
Beliau turut menegaskan tuduhan Lokman mengaitkan hubungan UMNO dan Pas dalam erti kata tidak tepat berkaitan isu kerajaan gabungan amat keterlaluan dan sangat tidak bertanggungjawab.
"UMNO ada kaedah tersusun dengan segala keputusan parti pasti akan melalui saluran yang betul dan tepat.
"Sudah tentu Presiden UMNO dan kepimpinan tertinggi parti tidak akan membelakangkan kepentingan parti dalam membuat sebarang keputusan penting,"katanya.
Shamsul Anuar turut menegaskan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 24 Julai 2019 membuat ketetapan hanya Presiden parti diberikan mandat untuk mewakili UMNO jika terdapat mana-mana pihak daripada luar ingin mengadakan sebarang kerjasama dengan UMNO.
"Sebarang perbincangan atau perundingan mesti mematuhi perkara yang telah dimuktamadkan oleh Majlis Tertinggi UMNO dan proses ini dilakukan oleh Presiden UMNO dengan penuh tanggungjawab,"katanya.
Melalui kenyataan itu, beliau turut menegaskan UMNO tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti terutama yang menganggotai Pakatan Harapan (PH) selagi mereka berkongsi kuasa politik dengan DAP.
"UMNO menolak sebarang kerjasama melibatkan DAP. UMNO ada prinsip dan ideologi sendiri dan tidak akan digadaikan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!