Lagi ikan lumba-lumba ditemui mati terdampar di Kuala Perlis
KANGAR - Seekor lagi ikan lumba-lumba ditemukan mati di persisiran Pantai Kurong Tengar di Kuala Perlis dekat sini awal pagi tadi.
Penemuan bangkai ikan lumba-lumba itu tular melalui Facebook PerlisAktif yang menyatakan ikan berkenaan dijumpai terdampar di kawasan itu pada 1.49 pagi.
Pengarah Perikanan Perlis, Mohammed Roshaizat Mustaffa berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai berkaitan penemuan bangkai ikan daripada spesies Irrawaddy dolphin atau lumba-lumba empesut itu pada 8 pagi.
"Ikan lumba-lumba ini dianggarkan berusia antara 26 dan 30 tahun berdasarkan saiz serta warna badan, dengan berat antara 90 kilogram (kg) dan 120kg. Sebab ia mati masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Selasa lepas, Bernama turut melaporkan bangkai seekor ikan lumba-lumba spesies yang sama dianggar seberat 130kg ditemukan terdampar di kawasan Kuala Sungai Padang dekat sini.
Mohammed Roshaizat berkata, faktor arus kuat ketika air pasang dan ombak besar akibat ribut boleh menjadi penyumbang kepada kejadian mamalia marin seperti paus dan ikan lumba-lumba hanyut lalu terdampar di pantai.
"Mamalia marin yang lemah atau cedera mungkin tidak dapat melawan ombak yang kuat membuatkan akhirnya terdampar. Ribut juga boleh mengganggu kemampuan navigasi haiwan berkenaan kerana ia bergantung pada echolocation dan medan magnet bumi untuk mencari arah.
"Gangguan cuaca seperti ribut atau perubahan mendadak dalam tekanan atmosfera boleh menyebabkan mamalia marin ini kehilangan arah dan secara tidak sengaja terdampar di pantai,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!