17 tahun menumpang, bekas tukang kebun sekolah miliki rumah Ru'Rasa

Rahim (dua dari kiri) dan keluarga bergambar bersama Al-Sultan Abdullah.
Rahim (dua dari kiri) dan keluarga bergambar bersama Al-Sultan Abdullah.
A
A
A

BERA - Penantian bekas tukang kebun sekolah selama 17 tahun untuk memiliki rumah sendiri tercapai selepas menerima kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru'Rasa) pada Khamis.

A Rahim Ismail, 55, antara 16 penerima terpilih bagi projek rumah bernilai RM75,000 yang dilengkapi tiga bilik bagi daerah Bera.

Paling bermakna buat Rahim dan penerima lain, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyerahkan kunci rumah tersebut di Kampung Paya Serai di sini.

"Syukur selepas sekian lama kami menumpang rumah kakitangan di Felda Tementi selama 17 tahun, impian memiliki rumah sendiri tercapai akhirnya.

Al-Sultan Abdullah mencemar duli mengunjungi rumah Rahim (kiri) selepas penyerahan kunci rumah Ru'Rasa di Kampung Paya Serai, Bera pada Khamis.
Al-Sultan Abdullah mencemar duli mengunjungi rumah Rahim (kiri) selepas penyerahan kunci rumah Ru'Rasa di Kampung Paya Serai, Bera pada Khamis.

"Paling bermakna menerima kunjungan Tuanku yang menyerahkan kunci sendiri hari ini," katanya ketika ditemui di rumah baharunya bersama isteri, Zuraidah Che Deraman, 53, dan dua anak berusia 13 dan 17 tahun.

Ujarnya, perancangan untuk berpindah ke rumah itu akan dilakukan pada tahun hadapan selepas anak sulungnya tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah juga berkenan mengurniakan kunci rumah Ru’Rasa kepada kepada 14 penerima bagi daerah Bentong.

Artikel Berkaitan:

Dalam titah baginda, Al-Sultan Abdullah memaklumkan projek Ru'Rasa akan diteruskan selepas tamat fasa dua dan tiga.

Al-Sultan Abdullah (tengah) meluangkan masa meninjau rumah milik Rahi
Al-Sultan Abdullah (tengah) meluangkan masa meninjau rumah milik Rahi

Baginda juga menitahkan kerajaan negeri supaya mempercepatkan projek sedia ada kerana ia juga boleh menguntungkan rakyat.

Pada titah itu, baginda turut menzahirkan kesyukuran dan penghargaan kepada Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan atas bantuan menyediakan kediaman selesa buat mereka yang kurang berkemampuan.

Pelaksanaan Ru ‘Rasa dengan kerjasama UAE melibatkan rumah setingkat dan bertiang masing-masing bernilai RM75,000 dan RM100,000 yang dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, dan dapur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!