Warga emas lemas ketika menjala ikan di sungai

Seorang warga emas lemas ketika melakukan aktiviti menjala ikan di sungai dekat Kampung Kobah, Pendang pada Khamis. Gambar hiasan
Seorang warga emas lemas ketika melakukan aktiviti menjala ikan di sungai dekat Kampung Kobah, Pendang pada Khamis. Gambar hiasan
A
A
A

PENDANG - Seorang warga emas lemas ketika melakukan aktiviti menjala ikan di sungai dekat Kampung Kobah di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Roslan Mat berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 11.20 pagi melalui satu panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan kejadian lemas di sungai berkenaan.

Susulan itu katanya, anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat tersebut.

"Hasil siasatan awal, mangsa berumur 63 tahun telah keluar dari rumahnya di Kampung Bukit Jambul dan menghala ke tempat kejadian pada jam 9 pagi.

"Menurut saksi, ketika mangsa sedang menjala, jalanya telah tersangkut dan mangsa turun ke dalam air untuk menarik jala keluar.

"Pada masa itu, arus air kuat telah menarik mangsa masuk ke dalam terowong berdekatan lokasi tersebut," katanya.

Roslan berkata, mangsa kemudian ditemui terapung di tempat kejadian sebelum Penolong Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar yang turun ke lokasi mengesahkan kematian mangsa.

Menurutnya, mayat dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis menasihatkan orang ramai sentiasa berhati-hati dan berwaspada di musim banjir.

"Utamakan keselamatan diri dan keluarga serta elakkan daripada menghampiri kawasan banjir dan sungai," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!