Kerajaan cadang bina MRSM ke-58, khusus untuk anak warga ATM - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid. Foto Bernama
Ahmad Zahid. Foto Bernama
A
A
A

KLUANG - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bercadang membina sebuah lagi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) khusus untuk anak pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membuka lebih peluang untuk mereka mendapatkan pendidikan di sekolah itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tambahan sebuah lagi MRSM itu bakal menjadikan keseluruhan 58 buah MRSM di seluruh negara, selain yang kedua buat anak warga ATM selepas Kem Terendak, Melaka.

"Kita akan berbincang dengan pihak Kementerian Pertahanan (Mindef) dan menterinya (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) di mana lokasi sesuai.

"Adakah akan menggunakan MRSM yang sudah dibina tetapi belum beroperasi atau pembinaan baharu yang agak panjang (yang boleh) mengambil masa sehingga 48 bulan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Kem Mahkota, di sini hari ini, dengan diiringi Mohamed Khaled.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, apabila MRSM itu siap, ia akan turut melaksanakan program Ulul Albab selain tidak mengetepikan bidang akademik pilihan pelajar.

Sistem pendidikan Ulul Albab, menurut Ahmad Zahid perlu diteruskan kerana berdasarkan peperiksaan, pelajar yang mengikuti pengajian tersebut memperoleh keputusan lebih cemerlang.

Terdahulu semasa berucap, beliau berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan membiayai kos penyelenggaraan MRSM Terendak bermula tahun depan yang kini ditanggung Mindef.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh inistiatif Mindef menawarkan program pengajian berasaskan pekerjaan (WBL) kepada semua anggota ATM, Ahmad Zahid berkata Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang merupakan antara institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut bersedia menawarkan bidang bersesuaian.

"UniKL juga akan mengambil dan mengiktiraf kelulusan anggota ATM ini,” katanya.

Baru-baru ini, Mohamed Khaled berkata Mindef menggalakkan anggota ATM menyertai WBL bagi memperoleh sijil pengajian tinggi sebagai persiapan menceburi bidang lain selepas bersara, mengambil kira sebahagian besar anggota bersara pada usia 41 tahun.

Mohamed Khaled berkata setakat ini dua universiti awam bersetuju untuk menawarkan 10 program pengajian bagi pelaksanaan WBL iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) - Bernama

@sinarharianonline

Kerajaan cadang bina MRSM ke-58, khusus untuk anak warga ATM - Ahmad Zahid #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Nasional #MRSM #ATM #AhmadZahid

News - AShamaluevMusic

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!