Wanita VIP terluka, suami curang

RATA-RATA wanita lebih memerlukan perhatian dan kasih sayang berbanding harta benda.
RATA-RATA wanita lebih memerlukan perhatian dan kasih sayang berbanding harta benda.
A
A
A

WANITA elit, wanita VIP, wanita first class ataupun jolokan yang diberikan, lazimnya tidak menzahirkan perasaan kecewa, sedih atau terbuka dalam membicarakan masalah apabila pasangan bermain kayu tiga kerana bimbang maruah diri dan suami tercalar.

Maklumlah, bila berharta, semua mata akan memandang. Sedikit kesalahan ataupun permasalahan peribadi yang terbongkar, pasti akan jadi gosip hangat dan akan dipandang sinis.

Bukan itu sahaja, masyarakat sekeliling mungkin mencemburui kemewahan yang sedang mengulit kehidupan. Benar kata orang, lebih banyak wang, batin akan lebih terseksa walaupun pada zahirnya nampak baik-baik sahaja.

Namun hakikatnya, di sebalik kehidupan yang difikirkan gah dan sempurna dari sudut kaca mata orang luar, golongan kaya terpaksa berdepan dengan pelbagai ujian. Kadang-kadang dugaan yang ditempuh lebih berat daripada yang kita jangkakan.

Justeru, bagi membantu mengatasi masalah yang dihadapi wanita elit terdapat tiga cara yang dicadangkan untuk wanita itu mengatasi masalah yang membelenggu fikirannya dan mencapai kebahagiaan yang diinginkan. Diharapkan ia serba sedikit membantu meringankan gejolak rasa seorang wanita VIP yang teraniaya.

DIYANA
DIYANA

1 Reboot tubuh

Rahsia utama yang wajar dilaksanakan oleh para isteri adalah dengan reboot tubuh menerusi diet sentuhan cinta dan gaya hidup seksual yang sihat.

Artikel Berkaitan:

Diet sentuhan cinta itu sekiranya diamalkan secara konsisten dan berterusan, ia akan membolehkan wanita mengakses kekuatan cinta bersama pasangan dengan lebih mudah. Ini disebabkan hormon cinta merupakan rahsia sebenar yang menyebabkan isteri terus kuat dan tabah berdepan dengan apa jua cabaran.

Apabila ia (hormon cinta) semakin meningkat, ia akan memudahkan wanita memaafkan kesilapan diri, suami dan orang lain agar perasaan dendam tidak bersarang dalam hati.

Pada masa sama, perasaan sayang terhadap suami juga akan lahir secara semula jadi meskipun sebelum ini wanita terluka dek pengalaman lalu.

Bertambah istimewa, hormon cinta juga bakal membuatkan para suami tertarik semula kepada isteri, sekali gus melupakan skandal yang sedang ‘menanti’ di luar rumah. Insya-ALLAH.

2 Reboot fikiran

Seterusnya, ubah corak pemikiran dengan menganggap diri adalah mangsa pada situasi buruk yang berlaku.

Walhal, setiap masalah dan dugaan itu sebenarnya peluang keemasan buat para isteri menjadikan ia sebagai senjata kebahagiaan keluarga.

Adakah selama-lamanya wanita ingin meletakkan diri sebagai mangsa atau sudah tiba masanya kita beralih menjadi satria cinta untuk suami dan anak-anak?

Bagi menjawab pertanyaan itu, ambil iktibar daripada kisah Asiah, isteri kepada Firaun. Walaupun menjadi isteri kepada raja dan pemerintah kejam, namun beliau berjaya memperjuangkan cinta dalam rumah tangga.

Oleh itu, jangan berhenti berharap dan berusaha menepis persepsi negatif yang boleh menjejaskan keharmonian keluarga.

Mulai hari ini, belajar melihat dengan mata hati tentang kehebatan diri sendiri dan optimumkan ia sebaik mungkin dari semasa ke semasa. Wanita zaman modenisasi wajar berubah.

3 Reboot hati

Kunci kebahagiaan wanita bermula dari hati yang bahagia dan sentiasa dilimpahi kasih sayang. Pasti ramai yang akan mempertikaikan kebenaran fakta ini dan berpendapat sukar untuk mencipta kebahagiaan andai hati sering terluka.

Namun, wanita harus memulakan langkah menyayangi diri terlebih dahulu kerana inisiatif tersebut bakal mengubah segala-galanya.

Selain bersikap adil, para isteri juga perlu mengelak menghukum dan mengkritik diri sendiri.

Cari peluang menggali ilmu menyayangi diri kerana curahan kasih daripada orang lain tidak mampu memenuhi kekosongan hati yang dianiaya.

Wanita di luar sana, sekali lagi disarankan agar belajar memaafkan mereka yang tegar menyakiti hati kita. Ketahuilah, individu yang bersikap sedemikian sebenarnya dahagakan cinta.

Jika suami sering menyakiti hati isteri, maka tindakan mereka itu wajar dibalas dengan kasih sayang bukannya persengketaan yang membawa kepada perceraian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!