400 hektar tanam jagung bijian
SERDANG - Sebanyak 400 hektar tanah dibangunkan oleh Genting Plantations Berhad (Genting Plantation) dan FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF) dalam usaha mengurangkan kebergantungan negara terhadap jagung bijian yang diimport untuk kegunaan industri ternakan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pada masa ini jagung bijian diimport 100 peratus dari Argentina.
"Dengan projek rintis membabitkan 100 hektar tanah, kita sasarkan ia dapat mengurangkan kebergantungan sebanyak 10 peratus pada peringkat awal ini," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) Pembangunan Industri Jagung Bijian antara KPKM dengan Genting Plantation dan FGVIF di Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA).
Menurutnya, Genting Plantation telah memulakan 100 hektar tanaman jagung bijian manakala 200 hektar akan dimulakan tidak lama lagi.
"FGVIF pula akan memulakan penanaman di kawasan seluas 100 hektar di Chuping, Perlis sebagai projek rintis," jelas Mohamad.
Beliau berkata, jagung bijian membentuk antara 50 hingga 60 peratus bahan dalam makanan ternakan, terutamanya untuk ternakan ayam.
"Ketersediaan jagung bijian dalam negara sangat penting memandangkan kadar penggunaan perkapita ayam yang tinggi di Malaysia iaitu 48kg setahun.
"Dengan mengurangkan kebergantungan kepada import, kita dapat memastikan kestabilan dan kemampanan industri ternakan ayam," katanya.
Sejak tahun 2016, kerajaan telah memulakan Program Pembangunan Industri Jagung Bijian, dengan sasaran menghasilkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keperluan domestik atau 1.25 juta metrik tan menjelang tahun 2030.
Untuk mencapai sasaran ini, lebih daripada 136,000 hektar tanah perlu dibangunkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!