Trafik penumpang udara rekod 64.1 juta orang setakat Ogos - MAVCOM

Statistik trafik penumpang udara bagi Ogos tahun ini menunjukkan pertumbuhan kukuh berterusan dengan peningkatan 12.7 peratus tahun ke tahun. Gambar hiasan
Statistik trafik penumpang udara bagi Ogos tahun ini menunjukkan pertumbuhan kukuh berterusan dengan peningkatan 12.7 peratus tahun ke tahun. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah trafik penumpang udara sepanjang lapan bulan pertama tahun ini merekodkan 64.1 juta orang.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, rekod tersebut didorong oleh pemacu utama iaitu trafik antarabangsa sebanyak 51.4 peratus daripada jumlah penumpang setakat tahun ini, manakala trafik domestik 48.6 peratus.

Ujar beliau, statistik trafik penumpang udara bagi Ogos tahun ini turut menunjukkan pertumbuhan kukuh berterusan dengan peningkatan 12.7 peratus tahun ke tahun (YoY) kepada 8.7 juta penumpang berbanding 7.7 juta yang direkodkan pada bulan sama tahun lalu.

“Angka trafik Ogos 2024 mencerminkan ketahanan dan momentum berterusan dalam sektor penerbangan Malaysia, terutamanya dalam perjalanan antarabangsa.

“Walaupun terdapat sedikit penurunan bulanan, pertumbuhan tahunan yang kukuh menunjukkan pemulihan yang mantap dalam sektor ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Saripuddin, trafik penumpang udara turut mengalami sedikit penurunan iaitu sebanyak 1.5 peratus bulan ke bulan (MoM) berbanding Julai tahun ini yang mencatatkan trafik sebanyak 8.8 juta penumpang.

Ulasnya, pertumbuhan tersebut didorong oleh lonjakan dalam perjalanan antarabangsa, peningkatan penerbangan dan pengenalan laluan baharu.

“Laluan baharu yang dilancarkan pada Ogos termasuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Ningbo, Karipur dan Guwahati serta penerbangan dari Kota Kinabalu ke Ningbo dan Bali.

Artikel Berkaitan:

“Pengenalan pengecualian visa untuk pelancong dari China dan India, ditambah dengan laluan baharu ini telah mendorong peningkatan trafik antarabangsa, menjadikan jumlah trafik Ogos 2024 mencapai 90.2 peratus daripada paras trafik yang direkodkan pada Ogos 2019, dengan laluan antarabangsa memimpin pemulihan,” ujarnya.

Tambah beliau, trafik penumpang udara domestik pada Ogos tahun ini mencatatkan 4.2 juta penumpang iaitu sebanyak 48.6 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Jelasnya, data penumpang itu menunjukkan peningkatan pada YoY sebanyak 2.2 peratus berbanding Ogos tahun lalu.

“Trafik penumpang udara antarabangsa menyumbang 51.4 peratus daripada jumlah keseluruhan, dengan 4.5 juta penumpang pada Ogos 2024.

“Daripada 4.5 juta penumpang tersebut, 2.3 juta disumbangkan oleh rantau antarabangsa bukan ASEAN, manakala baki 2.2 juta adalah dari rantau ASEAN.

“Rantau antarabangsa bukan ASEAN mencatatkan pertumbuhan tertinggi berbanding rantau lain, dengan peningkatan sebanyak 34.6 peratus YoY,” ulasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!