Ekonomi MADANI buka harapan baharu

Haida Abdul Rahman, 48, diberikan sebuah mesin layan diri yang ditempatkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Segamat, Johor melalui program IPR kategori INSAN.
Haida Abdul Rahman, 48, diberikan sebuah mesin layan diri yang ditempatkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Segamat, Johor melalui program IPR kategori INSAN.
A
A
A

SHAH ALAM - Keazaman seorang wanita untuk membantu suami menyara keluarga telah mendorong Haida Abdul Rahman, 48, membuka langkah menjadi seorang usahawan dalam perniagaan mesin layan diri.

Berasal dari Segamat, Johor, keputusannya yang nekad untuk menyertai program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) pada tahun lalu telah membuahkan hasil apabila memperoleh pendapatan di antara RM3,000 hingga RM11,000 sebulan sekali gus mengeluarkan dirinya daripada kemelut kemiskinan.

Malah, nikmat hasil yang diperoleh melalui IPR yang dicetuskan di bawah dasar pentadbiran Malaysia MADANI turut membolehkannya membiayai rawatan suami, Mohd Isa Roamin, 53, yang mengalami masalah kesihatan.

“Selama ini tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk menjadi usahawan mesin layan diri. Siapa sangka, rezeki Allah SWT, saya menjadi salah seorang daripada dua orang yang terpilih di daerah Segamat untuk program IPR-INSAN pada September tahun lalu.

“Alhamdulillah, saya diperuntukkan sebuah mesin layan diri yang ditempatkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Segamat pada Oktober tahun lalu.

“Bermula daripada itu, saya sedikit sebanyak dapat meningkatkan taraf hidup keluarga berbanding sebelum ini,” katanya yang sebelum ini hanya berniaga makanan secara kecil-kecilan.

Mudah diuruskan

Tambah Haida, perniagaan mesin layan diri mudah dikendali serta diuruskan kerana diaplikasikan dengan teknologi mudah alih sama ada dari segi pembayaran serta pemantauan jarak jauh dan menumpukan kepada produk makanan daripada Menu Rahmah yang dijual di bawah RM5.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian daripada makanan yang dijual Haida melalui mesin layan diri yang ditempatkan di Universiti Teknologi Mara kampus Segamat, Johor.
Sebahagian daripada makanan yang dijual Haida melalui mesin layan diri yang ditempatkan di Universiti Teknologi Mara kampus Segamat, Johor.



“Memandangkan mesin ini diletakkan di kawasan pelajar, saya fokuskan kepada makanan yang murah dan mengenyangkan seperti sandwich, bingka roti, kek pisang, kuih bakar, kek marble, bihun goreng, nasi lemak pandan dan minuman.

“Dari segi kos sewaan mesin layan diri, ianya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan antara RM600 hingga RM800 sebulan untuk tempoh dua tahun. Itulah keprihatinan dan manfaat yang diberikan oleh kerajaan,” jelasnya.

Peluang kedua

Manfaat pelaksanaan turut diterima Aminah Zakaria, 60, apabila dia mampu bangkit semula dalam perniagaan katering selepas terpaksa ditutup, kesan daripada pandemik Covid-19 sebelum ini.

AMINAH
AMINAH



Menerima Dana Pinjaman Mudah PKS di bawah program IPR, dia kini mampu bergerak semula menjalankan aktiviti perniagaan penyediaan makanan yang selama ini menjadi punca utama pendapatan untuk menyara keluarga.

“Sebelum pandemik, saya telah mengeluarkan banyak modal untuk meluaskan perniagaan melibatkan jumlah besar. Namun, perancangan itu segalanya musnah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Syukur sangat rasanya apabila saya dapat memulakan semula perniagaan saya di samping menjana pendapatan keluarga. Apa yang saya peroleh ini adalah hasil daripada perancangan dan pelaksanaan kerajaan yang sentiasa memberi perhatian kepada golongan seperti ini,” ujarnya.

Program IPR merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan untuk terlibat dalam perniagaan, sekali gus menghasilkan pendapatan kepada golongan B40.

Selain menyelesaikan masalah ekonomi harian golongan berkenaan melalui pelbagai program dan bantuan, ia turut memfokuskan kepada pembasmian kemiskinan dan penambahan pendapatan rakyat melalui inisiatif dalam bidang pertanian, perniagaan makanan dan perkhidmatan.

Usaha ini juga bertujuan untuk mewujudkan ekosistem yang melibatkan kerjasama antara pemohon, pemegang taruh dan masyarakat setempat sekali gus memberi impak positif kepada kehidupan rakyat dalam kelompok B40 dan miskin tegar sebagai strategi ‘serampang dua mata’.

Pelaksanaan IPR melibatan tiga model iaitu IPR-INSAN yang memfokuskan kepada usahawan makanan, IPR-Insiatif Usahawan Tani (INTAN) dan IPR-Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN) yang memfokuskan syarikat-syarikat swasta yang memerlukan pekerja-pekerja sambilan untuk tujuan pembersihan premis termasuk premis-premis agensi kerajaan.

Ekonomi Madani mula membuahkan hasil

Program IPR merupakan sebahagian daripada keberhasilan pelaksanaan Kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat cetusan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai 2023 yang kini menampakkan hasil yang ketara yang turut dirasai oleh pelbagai lapisan rakyat.

Salah satu pasak utama dalam Kerangka Ekonomi Madani ialah menaikkan lantai iaitu meningkatkan darjat hidup rakyat dengan menambahkan pendapatan mereka.

Keberkesanan program IPR turut diakui Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Mohd Faisol Ibrahim yang mana peluang itu perlu direbut oleh golongan sasar disamping diurus dengan baik serta sistematik.

DR MOHD FAISOL
DR MOHD FAISOL



Ini kerana, perniagaan secara kecil-kecilan katanya, mampu menjana pendapatan lumayan jika ia betul-betul berada di kawasan yang strategik dan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

“Jadi, melalui IPR ini ia akan memberi nilai tambah kepada isi rumah itu sendiri dalam teknik menguruskan perniagaan. Tidak mustahil perniagaan ini boleh dikembangkan ke peringkat skala yang lebih besar jika diuruskan dengan betul,” ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!