Pulau Pinang umum bantuan banjir dalam masa terdekat - Exco

Siew Khim bertanyakan khabar salah seorang mangsa banjir di PPS Lahar Yooi pada Khamis.
Siew Khim bertanyakan khabar salah seorang mangsa banjir di PPS Lahar Yooi pada Khamis.
A
A
A

TASEK GELUGOR - Kerajaan Pulau Pinang akan mengumumkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini dalam masa terdekat.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, perkara itu akan diumumkan selepas perbincangan dilakukan bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berhubung perkara berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya telah menggerakkan agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Zakat Pulau Pinang (ZPP) untuk melihat keperluan mangsa banjir terutama mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini.

"Kita akan adakan perbincangan untuk lihat apakah keperluan mereka (mangsa banjir).

Siew Khim (kanan) ketika menziarahi mangsa banjir di PPS Lahar Yooi pada Khamis.
Siew Khim (kanan) ketika menziarahi mangsa banjir di PPS Lahar Yooi pada Khamis.

"Agensi kerajaan seperti JKM dan ZPP juga telah dibawa bagi membantu mereka yang terjejas akibat bencana ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di PPS Lahar Yooi di sini pada petang Khamis.

Siew Khim berkata, JKM juga menyediakan kaunselor di setiap PPS untuk membantu mangsa banjir dengan fokus kepada kanak-kanak dan warga emas melalui aktiviti kaunseling dan pendidikan.

Jelasnya, setakat jam 4 petang pada Khamis seramai 590 mangsa daripada 161 keluarga masih ditempatkan di lapan PPS di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Di Daerah Seberang Perai Utara (SPU) sebanyak empat PPS masih dibuka dan menempatkan 447 mangsa daripada 116 keluarga.

"Bagi Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) sebanyak tiga PPS masih dibuka dengan menempatkan 102 mangsa daripada 25 keluarga, manakala di Seberang Perai Selasa hanya satu PPS masih dibuka yang menempatkan 41 mangsa daripada 20 keluarga," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!