Sepak takraw pantai: Taufan, gelanggang berpasir cabaran buat Malaysia

Hafizie (empat dari kiri) bersama para pemain akan memulakan saingan sepak takraw pantai menentang Iraq dan India di China pada Jumaat. Foto MHM.
Hafizie (empat dari kiri) bersama para pemain akan memulakan saingan sepak takraw pantai menentang Iraq dan India di China pada Jumaat. Foto MHM.
A
A
A

BUKAN sahaja Thailand mahupun Korea Selatan atau tuan rumah, tiupan angin dan permukaan gelanggang berpasir mampu menjadi rintangan kepada Malaysia dalam Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia Astaf 2024 bermula Jumaat.

Situasi itu dikhuatiri mampu menggugat haluan bola servis, umpanan dan rejaman anak-anak buah Mohd Hafizie Manap sepanjang pertandingan sehingga 23 September ini di Pantai Emas Qingdao, Shandong, China.

"Selepas dua sesi latihan di venue saya dapati angin menjadi lebih kencang jika perlawanan dijalankan sebelah petang dan malam berbanding pagi. Dua hari lepas saya dapat tahu berlaku Taufan Pulasan di Qingdao.

"Keadaan pasirnya juga lebih tebal dan berbeza daripada yang pernah saya bermain dan lihat di Malaysia sehingga kaki pemain tenggelam serta memberat.

"Saya tidak merungut, tetapi inilah yang ada di Qingdao. Saya harap pasukan kita dapat cepat menyesuaikan diri," kata jurulatih negara berusia 40 tahun ini.

Negara lain seperti India, Vietnam, Iraq dan Filipina bakal turut mengibarkan cabaran dalam kejohanan edisi kedua tersebut yang mempertandingkan acara regu dan trio (lelaki dan wanita) serta trio (lelaki sahaja).

Malaysia mempertaruhkan skuad bawah 21 tahun (B-21), namun masih mentah dengan acara pantai berbanding berpengalaman dengan sepak takraw biasa dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2024.

Mereka ialah Akif Ismat Zairi, Muhammad Hariz Hipni, Muhammad Wazir Madi, Muhammad Shahrain Zameer Shamsuddin, Muhammad Aqil Fawwaz dan Muhammad Firdaus Zahari.

Artikel Berkaitan:

Dalam Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia sulung pada 2019 juga di Qingdao, skuad negara yang diwakili Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi tempat ketiga.

"Saya juga cuba memanfaatkan dan mencurahkan semula pengalaman sebagai pemain Malaysia ketika Kejohanan Asia Tenggara 2007 di Bengkalis, Riau, Indonesia di mana kita menang tempat ketiga acara pantai.

"Kami tahu Thailand yang punya banyak kejohanan sepak takraw pantai tempatan pasti lebih berpengalaman. Sasaran kami ialah harungi satu persatu lawan dan perlawanan daripada terlalu fikirkan ke final," kata Hafizie.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan menentang Iraq pada jam 9 pagi Jumaat diikuti berdepan India pada jam 5 petang dalam acara regu lelaki.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!