'Jika benar, haramkan GISBH' - Dr Akmal ulangi pendirian

Muhamad Akmal Saleh
Muhamad Akmal Saleh
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk mengharamkan Syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) jika benar perkara sumbang tersebut berlaku dalam pertubuhan berkenaan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau tetap dengan pendiriannya dan bersetuju jika kerajaan mengharamkan pertubuhan tersebut apabila terbukti bersalah.

“Maka saya ulang sekali lagi pendirian saya supaya jika benar perlakuan sumbang ini berlaku dalam GISBH, maka GISBH ini wajib diharamkan,” katanya menerusi hantaran video di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor dan di Negeri Sembilan.

Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.

Pada 12 September lalu, Akmal meminta kerajaan mempertimbangkan pengharaman pertubuhan itu serta terus menggempur dan menyiasat setiap cawangan rumah amal berkenaan.

Pada masa sama, beliau berkata, pihak berkuasa juga perlu mengenakan tindakan paling berat kepada pelakunya sekiranya benar penghuni rumah amal itu dididik dan diajar dengan cara meliwat.

Selain itu, Akmal meminta orang ramai untuk membuat kajian terlebih dahulu sebelum meninggalkan komen yang tidak sepatutnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia berikutan pengguna media sosial mempersoalkan bahawa beliau tidak mempertahankan anak-anak berkenaan apabila Islam dihina.

“Sebelum komen, buat kajian dulu baru nampak cerdik sikit.

“Yang pertama keluarkan kenyataan tentang pertubuhan ini, aku,” tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!