Kerajaan digesa wujudkan Dasar Halal Negara
SHAH ALAM - Majlis Ekonomi Halal dan Keusahawanan Ummah Malaysia (MEH) menggesa kerajaan untuk mewujudkan Dasar Halal Negara bagi mengelakkan berlaku lebih banyak kekeliruan pada masa akan datang.
Setiausaha Agungnya, Dr Helmi Ibrahim berkata, inisiatif berkenaan perlu bersifat inklusif dan bukan eksklusif dengan merujuk kepada persijilan halal sahaja tetapi turut merangkumi ekosistem halal secara keseluruhan.
“Negara kita mempunyai dasar mengenai sisa pepejal tetapi ironinya negara tidak mempunyai dasar halal malah, Akta Halal pun tidak ada.
“Ini adalah suatu yang menghairankan memandangkan Malaysia adalah sebuah negara di mana agama rasminya Islam, namun semangat agama persekutuan ini tidak termaktub dalam dasar kerajaan dalam konteks tersebut.
“Dengan adanya Dasar Halal Negara, maka segala kekeliruan dapat ditangani dengan tuntas dan kerajaan mempunyai kerangka perundangan dan pentadbiran yang jelas untuk pembangunan industri halal,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Tambah Helmi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh memainkan peranan lebih khusus dalam memajukan sektor halal sebagai pola pertumbuhan ekonomi umat Islam.
Ujarnya, kini industri halal dari segi permodalan pasaran dimonopoli pengusaha bukan Islam padahal majoriti penggunanya adalah umat Islam.
“Sudah sampai masanya umat Islam bukan hanya berbangga mempunyai mekanisme persijilan halal bertaraf global, tetapi juga melahirkan usahawan halal Muslim yang mampu menampilkan produk dan perkhidmatan untuk pasaran halal global.
“MEH sedia bekerjasama dengan kerajaan dalam merangka dan menjayakan Dasar Halal Negara. Kami merupakan badan yang terawal mengutarakan cadangan ini sejak tahun 2014.
“Malah kami telah mengemukakan cadangan lengkap beberapa kali kepada kerajaan, seiring perubahan tampuk pemerintahan,” jelasnya.
Menurutnya, dengan pelancaran 2024 dan 2025 sebagai Tahun Kesedaran Halal selain mengadakan kempen jelajah diharap dapat memupuk kesedaran halal dan sekali gus mempromosikan konsep Dasar Halal Negara yang lebih inklusif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!