UK biayai projek hasilkan vaksin koronavirus

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

LONDON - Kerajaan British berikrar untuk memperuntukkan sejumlah dana bagi menghasilkan vaksin baharu koronavirus dan penyakit berjangkit lain, lapor agensi berita Xinhua.

Perkara itu diumumkan kerajaan British pada Isnin.

Menurut kerajaan, dana 20 juta pound (kira-kira AS$26 juta) akan disalurkan kepada Pakatan Inovasi Persediaan Epidemik (CEPI), membabitkan perkongsian inovatif antara organisasi awam, swasta, dermawan dan masyarakat sivil yang dilancarkan di Davos pada tahun 2017 untuk membangunkan vaksin bagi membendung wabak masa depan.

"Pembiayaan itu akan membantu keupayaan membangunkan vaksin yang diiktiraf di seluruh dunia untuk mencegah penyakit baharu yang muncul termasuk koronavirus," kata Setiausaha Kesihatan Matt Hancock dalam satu kenyataan.

CEPI asalnya ditubuhkan untuk memerangi wabak Ebola di Afrika Barat.

"Harapan kami, bersama dengan rakan kongsi, kami boleh menghasilkan vaksin dalam tempoh 16 minggu. Fasa pertama ujian klinikal (Fasa I), untuk memastikan keselamatan vaksin mengambil masa dua hingga empat bulan," kata Ketua Pegawai Eksekutif CEPI Dr Richard Hatchett. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: GSK, CEPI bekerjasama hasilkan vaksin koronavirus

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!