Agensi kerajaan perlu turun padang cari pelajar kurang mampu

Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Nazirah
Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Nazirah
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi-agensi kerajaan terutama di peringkat kerajaan negeri digesa turun padang mengenal pasti golongan pelajar kurang berkemampuan yang terpaksa menolak kemasukan ke universiti kerana masalah kewangan.

Presiden Interim Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Nazirah Abdullah berkata, langkah itu perlu dilakukan supaya pelajar tersebut dapat diberikan bantuan tanpa melalui prosedur rumit dan menyusahkan.

“Pelajar yang berpotensi cemerlang ini sepatutnya dibantu oleh agensi berkenaan atau kerajaan negeri.

“Tetapi, pihak-pihak berkenaan perlulah bergerak mencari nama-nama pelajar tersebut.

“Kerajaan negeri mungkin terlepas pandang, sedangkan mereka ada potensi untuk melanjutkan pelajaran ke universiti, tetapi terpaksa menolak disebabkan masalah kewangan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Nazirah turut menyambut baik tindakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mengarahkan pihak universiti mempermudah kemasukan pelajar kurang berkemampuan, termasuk menangguhkan bayaran yuran pendaftaran.

Zambry pada Khamis dilaporkan berkata, beliau tidak mahu masalah kewangan dijadikan alasan pelajar untuk menolak tawaran kemasukan ke universiti.

"Masuk dahulu, kemudian kita akan uruskan termasuk melalui bantuan awal Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya menerusi rakaman video dimuat naik di laman Facebook milik Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Artikel Berkaitan:

Ia susulan pendedahan Asyraf Wajdi yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang menerima banyak aduan mengenai pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah tidak mampu melanjutkan pelajaran ke universiti kerana kekangan kewangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!