Hobi unik bawa bencana
KISAH kemunculan seekor buaya di Tasik Seksyen 7, Shah Alam pada 3 September lalu mengejutkan ramai pihak, khususnya warga ibu negeri Selangor itu.
Lokasi riadah awam itu terpaksa ditutup gara-gara tetamu tidak diundang itu.
Tidak sampai 24 jam selepas dipasang perangkap, buaya tembaga jantan sepanjang 1.68 meter itu berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor.
Persoalannya, bagaimana tasik itu ada buaya secara tiba-tiba.
Jika ia datang dari sungai berdekatan, tidak logik kerana punca masuk dan keluar air hanya dari longkang besar dan tasik ini jauh dari Sungai Klang.
Ramai yang beranggapan, kemungkinan buaya berusia sekitar tiga hingga lima tahun dengan anggaran berat 15 hingga 20 kilogram itu haiwan peliharaan eksotik yang dibuang pemiliknya di tasik berkenaan.
Malah, tanggapan ini juga tidak disangkal oleh Perhilitan Selangor.
Daripada kisah buaya ini, ia menunjukkan sebenarnya ada haiwan liar yang tidak sesuai dijadikan peliharaan.
Berdasarkan sifatnya, haiwan ini berpotensi mengundang bahaya apabila tidak dapat menyesuaikan diri apabila tempat kurungan semakin sempit, tidak cukup makanan dan juga memperlihatkan sifat buas apabila semakin membesar.
Penulis masih ingat lagi beberapa tahun lalu, tular foto perkahwinan pengantin baharu di sebuah negeri di utara diselitkan beberapa ekor ular sawa sebagai props disebabkan pengantin wanita sangat meminati dan memelihara reptilia itu.
Juga tular foto pasangan di sebuah negeri pantai timur mencium kepala ular tedung selar kononnya sebagai momen indah resepsi mereka.
Mungkin di mata mereka 'kami tahu bagaimana nak jaga haiwan kesayangan ini'.
Tapi bayangkan, jika ular ini bertindak agresif, mematuk orang di sekeliling disebabkan berasa terancam, siapa yang akan dipersalahkan.
Pernah dikejutkan pula kisah seorang penyanyi wanita menyimpan anak beruang matahari di kondominium miliknya yang didakwa menjumpai di tepi jalan, sehinggalah Perhilitan datang menyelamatkan haiwan berkenaan.
Memang tidak masuk akal, nak bela beruang dalam rumah walaupun si penyanyi itu memberi alasan ingin merawatnya terlebih dahulu sebelum menghantarnya ke zoo.
Menurut Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, setiap pemilik haiwan eksotik perlu membuat semakan terhadap status milikan lesen dan permit tertentu.
Ia bagi mengelakkan pemiliknya disabitkan kesalahan mengikut Akta 716.
Pada 19 Mac lalu, seorang peniaga didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan menyimpan lebih 200 hidupan liar yang dilindungi, secara tanpa lesen.
Mengikut pertuduhan, peniaga itu didakwa menyimpan sejumlah 197 ekor ular ball python, tujuh kura-kura pelbagai spesies dan dua iguana.
Pada 28 Ogos lalu, pasangan suami isteri didenda RM24,000 setiap seorang di Mahkamah Sesyen Seremban atas empat pertuduhan menyimpan sembilan kura-kura yang dilindungi dan kura-kura spesies terkawal.
Sementara itu, hobi memelihara ikan pendatang spesies invasif sebagai hiasan dan ternak juga mendatangkan masalah besar sehingga perairan Malaysia hari ini sudah dibanjiri pelbagai spesies asing.
Antaranya udang kara di Johor; ikan bandaraya di Sungai Klang, peacock bass di kebanyakan tasik di semenanjung dan juga ikan baung ekor merah (BEM) di Sungai Pahang, Sungai Selangor dan Sungai Perak.
Pada 2 Julai lalu, seekor aligator gar ditemukan mati di Tasik Metropolitan, Kepong, sekali gus bukti ada pihak membuang ikan bermulut buaya bila ikan semakin membesar.
Paling mengejutkan tular foto seekor BEM seberat 16 kilogram berjaya ditangkap di Sungai Tembeling, Kuala Tahan.
Kewujudan ikan asal Sungai Mekong ini, jika tidak dibendung akan mendatangkan ancaman besar ikan asli seperti kelah, temoleh, sebarau, tapah di Taman Negara itu.
Justeru, melepaskan apa-apa spesies haiwan yang bukan tempatan di habitat yang bukan asal tempat tinggal akan membawa kesan negatif yang sangat besar terhadap keseimbangan ekosistem dan juga keharmonian masyarakat.
Hentikan tabiat nak bela, tapi enggan bertanggungjawab!
* Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah ialah penyunting Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!