Juara 13 kali liga Greece sambar Martial
ANTHONY Martial, yang meninggalkan Manchester United pada Jun selepas sembilan tahun bersama The Red Devils menandatangani kontrak untuk AEK Athens sebagai ejen bebas, umum kelab Greece itu mengumumkan pada Jumaat.
Penyerang berusia 28 tahun itu telah menandatangani kontrak sehingga 2027 akan menyarung jersi nombor 26 bersama juara Greece 13 kali tersebut.
Butiran kewangan mengenai perpindahan itu tidak didedahkan, namun media Britain melaporkan bahawa bekas tonggak Perancis berkenaan akan memperoleh 2.5 juta pound setiap musim, menjadikannya antara pemain yang berpendapatan tertinggi AEK.
Sebagai rekod, Martial menjaringkan 90 gol dalam 317 perlawanan dalam semua kejuaraan bersama United, membantu Red Devils memenangi Liga Europa, Piala FA dan dua Piala Liga.
Penampilan terakhirnya untuk kelab itu adalah pada Disember selepas diketepikan akibat kerap mengalami kecederaan selama ini.
AEK, yang turut menandatangani bekas pemain tengah Tottenham Hotspur dan Sevilla, Erik Lamela, kini berada di puncak Liga Super Greece dengan 10 mata daripada empat perlawanan sebelum melawat Kallithea pada Ahad.
Selain Lamela, dia akan bergabung dengan bekas pemain Watford Roberto Pereyra dan Nordin Amrabat, serta bekas penjaga gol Brentford, Thomas Strakosha.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!