Sempurnakan iman cintai Rasulullah SAW

Baginda bukan sahaja bimbing manusia, bahkan buka pintu syurga dan selamatkan kita dari neraka

MENCINTAI Nabi Muhammad SAW tidak hanya terluah sekadar di bibir, tetapi juga menzahirkannya dari segi perbuatan dengan berselawat, berzikir, berpegang teguh dengan al-Quran yang menjadi mukjizat Baginda dan sunnah yang diajarkan. -Foto: Canva
MENCINTAI Nabi Muhammad SAW tidak hanya terluah sekadar di bibir, tetapi juga menzahirkannya dari segi perbuatan dengan berselawat, berzikir, berpegang teguh dengan al-Quran yang menjadi mukjizat Baginda dan sunnah yang diajarkan. -Foto: Canva
A
A
A

MESKIPUN Maulidur Rasul disambut oleh umat Islam pada Isnin, tetapi perasaan cinta kepada Nabi Muhammad SAW perlu disemai setiap detik.

Sekalipun tidak sempat hidup mahupun bersua dengan Baginda, namun sebagai umatnya, menjadi tuntutan ke atas kita untuk sentiasa mengekar rasa sayang itu dalam diri.

Sesungguhnya, kelahiran Rasulullah SAW membawa 1,001 rahmat ke seluruh alam.

Menyingkap semula detik kelahiran Baginda pada 12 Rabiulawal tahun Gajah, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah menjelaskan, ketika itu dikatakan pancaran cahaya keluar dari tubuh badan ibundanya, Sayidatina Aminah binti Wahab.

USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY
USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY

Ia sehinggakan sinarnya itu dapat menerangi istana-istana di Syam.

“Peristiwa ini menunjukkan bahawa Baginda datang sebagai cahaya petunjuk kepada dunia yang saat itu berada dalam kegelapan jahiliah,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Dasar keimanan

Mengulas tentang tuntutan mencintai Nabi Muhammad SAW, jelas ahli akademik itu, ia merupakan satu kewajipan yang mendasari keimanan setiap Muslim.

Ketahuilah bahawa tidak sempurna iman seseorang tanpa cinta mendalam kepada Rasulullah.

Ia bertepatan dengan hadis Baginda: “Tidak sempurna keimanan seseorang di antara kalian hingga ia lebih mencintai aku daripada kedua-dua orang tuanya, anaknya dan manusia semuanya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

“Antara sebab mengapa kita diwajibkan mencintai Nabi Muhammad SAW kerana Baginda ialah insan pilihan ALLAH yang diutuskan untuk membawa risalah Islam kepada seluruh umat manusia dan menjadi contoh terbaik untuk Muslim ikuti.

“Seseorang tidak dapat mengikut dan mencontohi Baginda kecuali jika kita mencintai dan menghargai kekasih ALLAH itu sebagai manusia paling mulia,” ungkapnya.

Dalam pada itu, pensyarah tersebut mengingatkan, cinta kepada Rasulullah SAW itu bukan hanya melibatkan soal perasaan, tetapi terletak kepada keyakinan dan tindakan kita dalam menjalani kehidupan.

SEBAGAI umat Rasulullah SAW, kita perlu menyemai rasa cinta kepada Baginda melebihi ibu bapa, diri sendiri mahupun orang lain. -Foto: Canva
SEBAGAI umat Rasulullah SAW, kita perlu menyemai rasa cinta kepada Baginda melebihi ibu bapa, diri sendiri mahupun orang lain. -Foto: Canva

Dalam al-Quran, ALLAH SWT berfirman: “Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai ALLAH, ikutilah aku, nescaya ALLAH mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” (Surah Ali Imran: 31)

“Ayat ini jelas menekankan, mencintai ALLAH SWT itu bersyarat dengan mengikuti rasul-NYA. Maka, cinta kepada ALLAH tidak akan sempurna tanpa cinta kepada Nabi Muhammad SAW kerana Baginda ialah perantara yang diutuskan untuk menyampaikan ajaran-NYA kepada umat manusia.

“Apatah lagi Rasulullah SAW merupakan insan yang paling banyak berkorban demi umatnya. Bayangkan terlalu banyak ujian, kesakitan dan kehinaan dilontarkan oleh kaumnya yang terpaksa 'ditelan' oleh Baginda demi memastikan risalah ALLAH sampai kepada kita.

“Jika direnungkan kembali pengorbanan itu, seharusnya bertambah rasa cinta dan penghormatan kita kepada Baginda,” katanya.

Penyelamat manusia

Menyambung hujah, Ustazah Sharifah Fadylawaty menjelaskan, terdapat beberapa sebab khusus mengapa kita dituntut untuk meletakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW di tempat tertinggi, mengatasi rasa sayang kita kepada ibu bapa dan diri sendiri.

Ini kerana Baginda bukan sahaja memberi ajaran yang membimbing kehidupan manusia, tetapi juga membuka pintu syurga dan menyelamat kita daripada azab api neraka, ungkapnya.

“Bahkan, Rasulullah SAW begitu mencintai umatnya sebelum kita lahir hingga ke akhirat dan Baginda sering kali berdoa kepada ALLAH SWT meminta keampunan serta kebaikan untuk umatnya walaupun kita belum wujud lagi pada zamannya,” terangnya.


USAH pernah jemu dan lelah untuk mengamalkan segala sunnah yang telah diajarkan Rasulullah SAW mengikut dua 'warisan' peninggalan Baginda iaitu al-Quran dan as-Sunnah. -Foto: Canva
USAH pernah jemu dan lelah untuk mengamalkan segala sunnah yang telah diajarkan Rasulullah SAW mengikut dua 'warisan' peninggalan Baginda iaitu al-Quran dan as-Sunnah. -Foto: Canva

Pada hari akhirat nanti, jelas pensyarah itu, Nabi Muhammad SAW menjadi satu-satunya insan memiliki keistimewaan untuk memberi syafaat kepada umatnya yang beriman.

“Syafaat ini menjadi rahmat besar yang hanya akan diperoleh oleh orang yang benar-benar mencintai Baginda SAW,” tuturnya.

Sekadar lafaz cinta pada bibir sahaja tidak memadai, sudah tentu ia perlu dimanifestasikan melalui hati dan tindakan.

Sebagai bukti cintakan Nabi Muhammad SAW, jelas pendakwah itu, kita diwajibkan untuk berselawat ke atas Baginda.

Sedangkan ALLAH SWT dan para malaikat pun berbuat demikian sebagaimana dinyatakan dalam ayat 56 surah al-Ahzab, inikan kita pula hanya insan biasa yang merupakan umat Baginda.

“Ini menunjukkan bahawa cinta kepada Rasulullah SAW harus disertai dengan zikir, selawat dan penghormatan kepada Baginda sebagai tanda kesyukuran serta kecintaan kita kepada insan agung yang telah membawa hidayah kepada umat manusia.

“Seperkara lagi, mencintai Baginda juga membawa manfaat besar di akhirat antaranya ia sebagai menjamin kita bersama Baginda kelak dan syafaat Nabi yang dijanjikan buat mereka yang mencintainya serta mengikuti sunnahnya,” ungkapnya.

ANEKDOT

Cara manifestasikan cinta kepada Rasulullah SAW

1. Ikuti sunnah Baginda SAW

Ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan termasuk cara beribadah, akhlak, pergaulan dan ibadah harian seperti solat, puasa dan zikir.


SEBAGAI bukti cintakan Nabi Muhammad SAW, umat diwajibkan untuk berselawat ke atas Baginda. -Foto: 123rf
SEBAGAI bukti cintakan Nabi Muhammad SAW, umat diwajibkan untuk berselawat ke atas Baginda. -Foto: 123rf

2. Mempelajari sirah dan sunnah Nabi SAW

Cinta yang tulus kepada Nabi hanya dapat lahir jika kita benar-benar mengenalinya. Penting bagi umat Islam untuk mempelajari sirah, memahami perjuangan Baginda menyebarkan Islam dan menyelami akhlak mulianya.

3. Berselawat ke atas Nabi

Ia antara cara terbaik untuk menzahirkan kecintaan kepada Nabi SAW dan mendapat ganjaran besar daripada ALLAH. Malah, berselawat dengan ikhlas juga tanda kita mengingati Baginda dan mengharapkan syafaatnya pada hari kiamat.

4. Berakhlak mulia

Rasulullah SAW ialah contoh unggul akhlak terpuji. Baginda terkenal dengan sifat penuh kasih sayang, jujur, amanah, pemaaf dan sabar. Berusahalah untuk mencontohi sifat Baginda.

5. Hidupkan sunnah dalam keluarga dan masyarakat

Perkenalkan amalan sunnah dalam keluarga seperti solat berjemaah, menjaga adab makan dan minum serta mengajarkan anak-anak tentang sirah dan sunnah Nabi. Kita bukan sahaja dekat dengan Baginda, tetapi juga memastikan ajaran dan sunnahnya terus diamalkan generasi seterusnya.

6. Sebarkan risalah Islam dan dakwah

Mainkanlah peranan kita dalam menyebarkan ajaran Islam melalui dakwah sama ada secara lisan atau melalui contoh perbuatan yang baik.

7. Berusaha cinta sesama Muslim

Nabi sangat mencintai umatnya dan mengajar kita untuk saling mencintai dan menghormati sesama Muslim.

8. Pertahankan maruah dan nama baik Baginda SAW

Wajib untuk kita mempertahankan maruah dan nama baik apabila Nabi difitnah atau dihina. Berikan penerangan yang baik kepada masyarakat tentang ajaran Baginda dan menjelaskan kesalahfahaman tentang Islam.

*Sumber: Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!