Eddin Syazlee meninggal dunia

Eddin Syazlee Shith
Eddin Syazlee Shith
A
A
A

SEREMBAN - Bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith meninggal dunia di rumahnya di Taman Bukit Chedang di sini pada Jumaat.

Allahyarham berusia 50 tahun yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Ketua Bahagian Bersatu Kuala Pilah menghembuskan nafas terakhir jam 7.10 pagi.

Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, Allahyarham sememangnya mempunyai masalah kesihatan dan ada menerima rawatan di hospital.

"Cumanya dalam minggu ini kesihatannya agak kritikal sikit dan terpaksa dimasukkan ke hospital tak silap saya antara empat ke lima hari.

"Semalam (Khamis) pun boleh dikatakan sepanjang hari saya berada di rumah Allahyarham untuk melihat keadaannya dan jam 7.10 pagi tadi keluarganya hubungi memaklumkan yang beliau telah meninggal dunia," katanya dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, difahamkan jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Bukit Chedang bagi urusan solat jenazah kira-kira jam 10.30 pagi dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ainsdale selepas solat Jumaat.

Untuk rekod, Allahyarham pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Komunikasi & Multimedia, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)

Allahyarham merupakan wakil rakyat Bersatu yang pertama memenangi pilihan raya di Negeri Sembilan iaitu Pilihan Raya Umum ke-14 dengan menewaskan penyandang dari Barisan Nasional(BN) iaitu Datuk Seri Hasan Malek dengan majoriti tipis 200 undi.

Artikel Berkaitan:

Pilihan raya terakhir disertainya pada Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan pada penghujung tahun 2023 lalu yang mana beliau nyaris memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Juasseh apabila tewas dengan majoriti 78 undi kepada calon BN, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!