Buka peluang pelajar miskin teruskan impian ke menara gading
INISIATIF Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengarahkan pihak universiti untuk menerima pelajar daripada golongan miskin dan daif untuk melanjutkan pengajian ke universiti merupakan usaha baik bagi menjamin masa depan generasi masa hadapan.
Arahan sudah dikeluarkan kepada semua pentadbir institusi pengajian agar menerima kemasukan pelajar golongan tersebut sekali gus membantu meringankan beban kewangan mereka.
Sebelum ini Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jangan jadikan alasan kekangan kewangan sebagai halangan untuk menyambung pengajian.
Sudah menjadi impian setiap pelajar untuk meneruskan pembelajaran sehingga ke peringkat menara gading, namun disebabkan wang yang tidak mencukupi menjadi halangan cita-cita mereka berhenti di pertengahan jalan.
Apabila arahan sudah dikeluarkan, setiap pelajar yang berpotensi untuk berjaya perlu bersiap sedia supaya tidak menghampakan hasrat ibu bapa serta pihak yang banyak membantu.
Peluang yang sudah jelas dibuka tersebut perlulah digunakan dengan sebaiknya, bukan seolah-olah ‘melepaskan batok di tangga’.
Ini kerana pelajar daif yang mendapat keputusan cemerlang semasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu dikumpulkan bagi menentukan bidang pembelajaran yang lebih sesuai mengikut minat masing-masing.
Justeru, pihak kerajaan diminta untuk terus membantu pelajar golongan tersebut supaya mereka dapat menikmati pengalaman belajar di universiti pilihan.
Ia sekali gus mampu mengurangkan kos atau bebanan kewangan pelajar yang mana mereka perlu membeli keperluan pelajaran seperti komputer riba sebelum memasuki alam universiti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!