[VIDEO] Isu Kerajaan Perpaduan: 'Jika dapat tumpang bas bersama lebih baik' - PH Johor

A
A
A

KLUANG - Pakatan Harapan (PH) Johor meletakkan harapan agar penubuhan Kerajaan Perpaduan dapat direalisasikan di negeri ini selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan bagaimanapun berkata, pihaknya sedar semangat memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat demi agenda pembangunan dan ekonomi negara, jauh lebih utama membuatkan mereka akur dengan sebarang keputusan pucuk pimpinan.

Menurutnya yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, kerjasama sedia ada yang wujud antara Barisan Nasional (BN) dan PH di negeri ini ketika ini juga harus dipertahankan meskipun tanpa penubuhan Kerajaan Perpaduan.

"Ibaratnya, kita berjalan kaki (kerana) tiada kenderaan, (lebih baik) kalau dapat tumpang naik satu kenderaan...walaupun mungkin naik kereta lembu.

"Itu pun sudah bagus. Apatah lagi kalau dapat tumpang bersama (naik) satu bas yang cantik. Itu lebih baik.

"(Namun) kami memahami bahawa kami ada pemimpin-pemimpin yang lebih tinggi bukan sahaja di peringkat Amanah, tetapi di peringkat PH di mana Pengerusi PH adalah Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

"Kami kena pastikan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat tetap kukuh sampai Pilihan Raya (Umum) ke-16," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Ceramah Kelompok Perpaduan, di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Aminolhuda Hassan
Aminolhuda Hassan

Pada Selasa, Mohamed Azmin mencabar Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menubuhkan Kerajaan Perpaduan di Johor sekiranya BN berjaya mengekalkan kerusi DUN ini.

Beliau juga mendakwa, PH Johor kini mendukung sebuah gabungan politik yang tidak memberi manfaat kepada mereka, dan percaya mustahil untuk berlakunya perkongsian kuasa jika BN menang di PRK DUN Mahkota.

Mengulas lanjut, Aminolhuda mendakwa, tindakan pemimpin pembangkang itu adalah usaha untuk memecah-belahkan kerjasama antara BN dan PH dalam PRK DUN Mahkota.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada Azmin agar tidak terus bermain wayang dengan menunggang isu penubuhan Kerajaan Perpduan di Johor.

"Saya percaya PN cuba nak pecah-belahkan kerjasama kita (BN-PH) dalam pilihan raya ini.

"Jadi, pada saya, Datuk Seri Azmin, jangan bermain wayang dengan menyebutkan tentang (tiada Kerajaan) Perpaduan di peringkat Kerajaan Johor,"katanya.

Pada masa sama, beliau mempersoalkan bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada rakyat sekiranya PN memenangi PRK DUN ini, sedangkan pembangkang sendiri telah menolak Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan daripada kerajaan.

"Kita faham bahawa mereka paling takut untuk isytihar harta sebab itu antara syarat.

"Mereka takut apabila ada klausa yang menyatakan bahawa tidak boleh sentuh 3R (raja, kaum dan agama), maka tak boleh mainkan isu perkauman dan agama yang akan kurangkan penyokong mereka," katanya.

PN membuat ketetapan sebulat suara menolak MoU mengenai Peruntukan Pembangkang yang dikemukakan kerajaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penolakan itu dilakukan kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan; bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa dan mengokong kebebasan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!