Gajah Pygmy Borneo ditemui mati jatuh gaung
LAHAD DATU - Seekor gajah Pygmy Borneo ditemui mati dengan kesan kecederaan dipercayai jatuh dari gaung dengan ketinggian 30 meter di sebuah ladang di sini pada Isnin lalu.
Gajah betina berusia lima tahun itu ditemui pekerja ladang kira-kira jam 7 pagi sebelum melaporkan penemuan tersebut kepada pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.
Pengarah JHL Sabah, Roland Oliver Niun berkata, pihaknya menerima laporan aduan orang awam berkenaan gajah yang telah mati di lokasi kejadian.
"Hasil siasatan awal, gajah berketinggian hampir satu meter itu mengalami kecederaan dan terdapat kesan lebam serta kesan darah pada bahagian badan gajah tersebut.
"Punca kematian setakat ini masih belum dapat dipastikan.
"Bagaimanapun, menurut pekerja ladang, gajah itu dipercayai terjatuh dari gaung atau jurang berketinggian kira-kira 30 meter," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Katanya lagi, tindakan seterusnya adalah pihak JHL menjalankan bedah siasat terhadap gajah tersebut.
"Bedah siasat dijalankan bagi mencari punca kematian gajah tersebut dan pihak kami masih menunggu laporan mengenainya.
"Selepas bedah siasat dijalankan, bangkai gajah telah dikubur di lokasi kejadian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!