JKNT tubuh jawatankuasa bebas siasat punca bayi meninggal
KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Terengganu (JKNT) telah menubuhkan jawatankuasa siasatan bebas bagi menyiasat secara terperinci berhubung dakwaan bayi meninggal dunia akibat kecuaian staf di Hospital Dungun.
Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, pihaknya akan mengambil tindakan-tindakan penambahbaikan yang bersesuaian berhubung isu tersebut.
"JKNT mengambil maklum mengenai satu hantaran di media sosial X oleh pemilik akaun 'Matdan The Great (@rushashraf)' bertarikh 17 September lepas yang meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap perkhidmatan diberikan kepada adiknya oleh kakitangan wad bersalin di Hospital Dungun.
"Semakan awal mendapati adik pengadu telah dimasukkan ke wad bersalin Hospital Dungun pada 16 September lepas dan selamat melahirkan satu bayi secara normal pada jam 5.08 pagi.
"Begitupun, bayi tersebut mengalami masalah pernafasan dan telah diberikan rawatan awal untuk menstabilkannya sebelum dihantar ke Hospital Kemaman kira-kira jam 7.45 pagi bagi rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).
"Bagaimanapun, selepas 40 jam dirawat di NICU, malangnya bayi tersebut tidak dapat diselamatkan dan punca kematian masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Dr Kasemani berkata, JKNT memandang serius perkara-perkara yang diutarakan oleh pengadu dan telah menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Bebas bagi menyiasat isu itu.
Sebelum ini, pengguna akaun X tersebut meluahkan rasa kecewanya apabila anak saudaranya yang baru lahir dua hari meninggal dunia didakwa akibat kecuaian.
Hantaran tersebut mendapat pelbagai komen netizen termasuk yang menceritakan semula pengalaman mereka ketika mendapatkan rawatan di hospital tersebut sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!