Bekalan mencukupi di negeri dilanda banjir - Armizan
KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan barang keperluan harian termasuk bahan mentah mencukupi di kawasan yang terjejas banjir terutama di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pemborong terpilih (DDW) dan peruncit terpilih (DDR) yang dilantik di setiap daerah dibenarkan menambah had simpanan bekalan barang kawalan melebihi 30 peratus kuantiti daripada had simpanan sedia ada dalam lesen asal sepanjang tempoh bencana tersebut.
"Tanggungjawab utama kita apabila berlaku sesuatu banjir itu dengan memastikan keperluan bekalan tersebut mencukupi. Jadi Prosedur Operasi Standard (SOP) sudah ada.
"Kita telah melantik di satu kawasan tersebut iaitu sudah ada DDW dan DDR yang telah dikenal pasti lebih awal. Apabila berlaku banjir, kita aktifkan pendekatan tersebut untuk memastikan rakyat tidak terputus bekalan.
"Jadi kita telah mengarahkan semua KPDN negeri dan cawangan unruk sentiasa peka dan bekerjasama dengan jawatankuasa pengurusan banjir di peringkat negeri dan daerah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jualan Rahmah Madani Mega Negeri Terengganu di pekarangan Surau Al-Iman Losong Panglima Perang di sini pada Jumaat.
Situasi banjir di beberapa negeri terus memburuk dengan ribuan mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 6,087 orang setakat jam 8 pagi ini berbanding 4,425 orang malam tadi, sementara situasi di Perlis dan Pulau Pinang tidak banyak berubah.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, pihaknya sudah mengambil langkah persediaan awal sebelum banjir selain sentiasa memantau keadaan khusus di negeri dilanda banjir tersebut.
"Dari segi bantuan 'food bank' kepada mangsa yang terjejas banjir, kita telah bekerjasama dengan pelbagai pihak.
"Setiap agensi dalam kerajaan mempunyai tanggungjawab masing-masing sebagai contoh di pusat penempatan banjir tanggungjawabnya adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat.
"Jadi kita membantu bersandarkan pada maklum balas daripada agensi-agensi lain sekiranya ada keperluan maka kita usahakan bekalan tambahan kepada pengguna yang terjejas," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!