Himpunan di Stadium Axiata akan ditolak rakyat - Mohamed Azmin

Azmin ketika berucap dalam ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mesjid Lama, Kampung Melayu di Kluang malam Khamis.
Azmin ketika berucap dalam ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mesjid Lama, Kampung Melayu di Kluang malam Khamis.
A
A
A

KLUANG - Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali percaya Himpunan Keadilan Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi Ke Malaysia Madani pada malam ini, tidak akan mendapat sambutan dan ditolak rakyat.

Mohamed Azmin berkata, ini kerana reformasi pada masa kini merupakan perjuangan palsu malah melanggar prinsip dan perjuangan sebenar yang dibawakan sebelum ini.

“Malam esok (malam ini) konon-kononnya ada himpunan di Stadium Axiata sempena 20 September ini, tarikh (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) ditangkap.

“Saya difahamkan kakitangan kerajaan akan dikerah untuk memenuhi stadium. Mengapa mereka (kakitangan) perkhidmatan awam (dikerah) untuk mendengar ceramah politik yang sudah mati. Semangat reformasi yang sudah mati.

“Jangan heret anggota kerajaan untuk mendukung satu perjuangan palsu yang telah mengkhianati mandat rakyat. Reformasi sudah mati, sudah jadi reformati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Masjid Lama, Kampung Melayu di sini malam Khamis.

Hadir sama Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Yang Dipertua Pas Johor, Abdullah Husin.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa, pejuang dan reformis tulen adalah beliau dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta mereka yang kini berada dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Artikel Berkaitan:

Dakwanya lagi, sebelum Anwar ditahan beliau merupakan individu pertama ditangkap pada 16 September sebelum diaib dan dipaksa memberikan keterangan palsu dalam lokap.

“Di situlah tercetusnya reformasi. Kalau nak bicara soal reformasi saya yang sepatutnya dijemput untuk berucap pada malam esok (mereka) yang lain lari.

“Ramai pemimpin yang hari ini, kepung Anwar kini duduk dalam jemaah menteri tapi masa itu mereka lari ke luar negara, pergi ke Indonesia, Australia dan United Kingdom, saya boleh senaraikan nama mereka satu persatu,” katanya.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dilaporkan berkata himpunan itu, yang bertema 'Dari Reformasi ke Malaysia Madani', dianjurkan bagi memperingati detik bermulanya gerakan reformasi iaitu pada 20 September 1998.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!