Program Jualan Rahmah Madani di pasar bermula Oktober

Armizan ketika sidang akhbar selepas Program Jualan Rahmah Madani Mega Negeri Terengganu.
Armizan ketika sidang akhbar selepas Program Jualan Rahmah Madani Mega Negeri Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluaskan pelaksanaan inisiatif Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) melalui kaedah baharu iaitu penganjuran PJRM di pasar-pasar awam secara bersasar bermula Oktober ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif itu bertujuan untuk memperluaskan akses kepada pengguna bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapat manfaat.

Selain itu, katanya, pelaksanaan PJRM di pasar juga bertujuan memperbanyakkan lagi jenis barangan keperluan yang ditawarkan kepada rakyat selain membuka ruang kepada penglibatan peniaga di pasar-pasar awam secara bersasar.

"Melihat kepada sambutan menggalakkan dan manfaat yang diperoleh oleh rakyat melalui siri penganjuran PJRM di seluruh negara, KPDN akan memperkenalkan kaedah baharu iaitu penganjuran PJRM di pasar-pasar awam secara bersasar.

"Pelaksanaan PJRM@Pasar ini adalah tambahan kepada tiga kaedah sedia ada iaitu PJRM dalam premis, luar premis dan bergerak.

"Sasaran penganjuran PJRM@Pasar mengambil kira beberapa faktor seperti kawasan yang berlaku pergerakan harga barang dengan kadar kenaikan yang signifikan, gangguan bekalan disebabkan faktor cuaca dan kos pengangkutan yang tinggi sehingga mempengaruhi harga barang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jualan Rahmah Madani Mega Negeri Terengganu di pekarangan Surau Al-Iman Losong Panglima Perang di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, pemilihan kawasan untuk PJRM di pasar tersebut akan ditentukan berdasarkan pemantauan terhadap pergerakan harga barang dan aduan orang awam.

Artikel Berkaitan:

"Kaedah ini merupakan satu lagi bentuk intervensi kerajaan dalam membantu menangani isu kos sara hidup rakyat secara bersasar.

"Pelaksanaan di pasar-pasar secara bersasar mengikut keperluan semasa ini juga dilaksanakan untuk memastikan PJRM di Pasar tidak mendatangkan implikasi gangguan atau herotan kepada pasaran," jelasnya.

Dalam pada itu, Armizan menyatakan sebanyak 7,173 program PJRM telah dilaksanakan di seluruh negara yang merekodkan seramai 6,343,112 pengunjung dari 1 Januari hingga 19 September lalu.

"Bagi negeri Terengganu sahaja, sebanyak 616 PJRM telah dilaksanakan, di mana 265 kali melalui kaedah secara dalam premis dan luar premis dan 351 kali secara bergerak," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!