Lelaki ugut bakar anak ditahan

Tangkap layar video memapar tindakan suspek mengugut untuk membakar anak lelakinya.
Tangkap layar video memapar tindakan suspek mengugut untuk membakar anak lelakinya.
A
A
A

KUANTAN - Polis menahan seorang lelaki yang disyaki memukul dan mengugut untuk membakar anak lelakinya dipercayai sebagai protes terhadap kemelut rumah tangganya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek berusia 35 tahun ditahan di Maran kira-kira jam 10.30 malam, Rabu lalu.

Menurutnya, penahanan suspek itu susulan sebuah video tular memaparkan seorang kanak-kanak lelaki menangis teresak-esak dikelilingi unggun api dipercayai didera secara mental oleh ayah kandungnya.

”Siasatan awal mendapati, suspek dipercayai tertekan selepas bercerai dengan isterinya.

"Suspek tidak bersetuju dengan penceraian tersebut dan merakam video berkenaan sebagai ugutan dan protes terhadap kemelut rumah tangga dihadapi," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Wan Mohd Zahari berkata, ketika dalam fasa perceraian, isteri suspek (pengadu) telah menghantar anak lelakinya, berusia dua tahun ke rumah suaminya itu di Beserah di sini.

"Pasangan itu telah bercerai pada 15 September lalu dan tinggal berasingan.

"Ekoran itu, pengadu mendakwa menerima beberapa video dihantar bekas suaminya yang menunjukkan lelaki itu memukul dan memarahi anak lelaki mereka sehingga trauma," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pada petang Rabu lalu, pengadu menerima lagi beberapa klip video bekas suaminya memarahi anak mereka dengan memukul dan mengugut untuk membakar kanak-kanak tersebut.

"Susulan itu, pengadu tampil membuat laporan polis kerana bimbang terhadap keselamatan anaknya itu.

"Suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!