Koronavirus: 34 rakyat Malaysia terpaksa berada di Wuhan
PUTRAJAYA - Seramai 34 rakyat Malaysia yang sepatutnya dijadualkan pulang bersama 107 yang lain dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana hari ini terpaksa berada di Wuhan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kenyataannya berkata, sebilangan rakyat itu tidak dapat meninggalkan Wuhan kerana masalah logistik.
"Sebab utama adalah mereka berada di luar bandar Wuhan dan kesukaran mendapatkan kenderaan menuju ke bandar Wuhan atau ke lapangan terbang," katanya.
Menurutnya, misi tersebut menggunakan pesawat Air Asia AK 8265 daripada Wuhan, China telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 6 pagi tadi dengan membawa pulang 133 orang.
"Jumlah itu termasuk lapan petugas misi, enam pegawai Kedutaan Besar Malaysia dan 12 kru penerbangan," katanya.
Beliau berkata, sebaik mendarat mereka dibawa menaiki bas ke Unit Kecemasan Udara (ADU) untuk melalui tapisan kesihatan.
"Daripada 107 yang dibawa pulang dari Wuhan, seramai dua individu tidak melepasi tapisan kesihatan dan telah dihantar ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL)," katanya.
Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (Nadma) berkata, seramai 105 individu telah dibawa menaiki bas ke Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang terletak di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.
"Pusat Pemantauan ini akan diselia oleh petugas-petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Di sini perhubungan adalah terhad kepada petugas kesihatan sahaja," katanya.
Tambahnya, selain petugas kesihatan, tiada perhubungan dengan pihak luar dibenarkan termasuk ahli keluarga.
"Ahli keluarga atau sahabat handai diminta memahami situasi ini dan perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada pelaksanaan pemantauan ini.
"Untuk tujuan keselamatan, lokasi ini dikawal oleh pihak polis," katanya.
Menurutnya, saringan kesihatan akan dilakukan dua kali sehari bagi memastikan mereka benar-benar sihat dan boleh dibenarkan keluar setelah tamat proses pemantauan ini.
"Nadma sudah menghubungi keluarga terdekat bagi memaklumkan ketibaan mereka dan memberi penerangan berkaitan proses pemantauan yang perlu dilalui," katanya yang turut berterima kasih kepada semua pihak terlibat dengan misi tersebut.
Semalam, pesawat khas itu berlepas ke Wuhan jam 4.30 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!