Mekanik dipenjara tujuh hari tumbuk adik kandung

Seorang mekanik dipenjara tujuh hari kerana menumbuk muka adiknya berpunca daripada tindakannya kentut di dalam kereta. Gambar hiasan
Seorang mekanik dipenjara tujuh hari kerana menumbuk muka adiknya berpunca daripada tindakannya kentut di dalam kereta. Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA – Seorang lelaki dipenjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis kerana menumbuk muka adiknya berpunca daripada tindakannya kentut di dalam kereta.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu ke atas mekanik, Ridzuan Samsudin,37, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara daripada tarikh dia ditangkap pada Sabtu lalu.

Lelaki itu mengaku bersalah kerana sengaja mendatangkan cedera dengan cara memukul dan menumbuk hidung serta mulut adik kandungnya, Nurul Hanis Samsudin, 32.

Tindakan itu didakwa dilakukan semasa berada di tempat duduk belakang dalam sebuah kereta di kawasan parkir sebuah pasar raya di Jalan Peringgit di sini, kira-kira jam 11 pagi 11 September lalu.

Pendakwaan bagi kesalahan itu dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan dikenakan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Menurut sumber, pertengkaran antara mereka dipercayai berpunca apabila tertuduh kentut di dalam kereta dan ketawa sebelum mangsa menegur perbuatan tertuduh dan mengungkit kisah silamnya.

Tertuduh yang berang kemudian bertindak memaki hamun adiknya itu dan beberapa kali menumbuknya di bahagian hidung dan mulut menyebabkan mulut wanita itu berdarah serta bengkak.

Mangsa kemudian membuat laporan polis dan hasil rawatan di Hospital Melaka doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan tisu pada mulut, pipi kanan dan dahi kiri.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh yang mendatangkan kecederaan terhadap adik kandungnya itu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan mempunyai tanggungan keluarga iaitu isteri dan enam orang anak selain hanya bekerja sebagai mekanik di bengkel sendiri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!