NGO cadang tubuh jawatankuasa pemantau projek ladang hutan Kledang Saiong

Noreha (dua dari kanan) bersama Mohd Rafi (kiri) dan Michael (dua dari kiri) menunjukkan surat cadangan selepas ditemui pemberita Jabatan Perhutanan Perak pada Jumaat.
Noreha (dua dari kanan) bersama Mohd Rafi (kiri) dan Michael (dua dari kiri) menunjukkan surat cadangan selepas ditemui pemberita Jabatan Perhutanan Perak pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa pemantau khas bagi projek Ladang Hutan Kledang Saiong yang diluluskan kerajaan.

Pengerusi Sahabat Ekologi Perak, Mohd Rafi Zainal berkata, cadangan itu dikemukakan kepada Jabatan Perhutanan Perak memandangkan gesaan agar projek tersebut dibatalkan tidak dapat dilaksanakan kerana kelulusan tersebut diberikan oleh kerajaan negeri sebelum moratorium pembangunan ladang hutan diumumkan Majlis Tanah Negara pada Disember 2021.

Menurutnya, disebabkan itu NGO alam sekitar menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) memantau pelaksanaan projek bagi memastikan syarikat terlibat mematuhi peraturan ditetapkan.

"Pada dasarnya sebagai NGO kami memang tidak setuju ladang hutan di dalam hutan simpan. Penduduk kampung yang terlibat juga tidak setuju tetapi oleh kerana persetujuan menjalankan projek ini diluluskan sebelum moratorium tersebut, jadi kerajaan negeri terpaksa meneruskan projek ini dan kami faham situasi ini.

"Kami juga menyambut baik langkah dan usaha Jabatan Perhutanan melibatkan kami NGO untuk memantau projek ini bersama-sama pihak berkaitan supaya mengikut peraturan ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat cadangan di Jabatan Perhutanan Perak di sini pada Jumaat.

Mohd Rafi berkata, selain Sahabat Ekologi Perak, NGO lain yang turut sama memantau projek tersebut termasuklah Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Sahabat Alam Malaysia (SAM), Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) dan beberapa NGO lain.

Bagi Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Michael Jeyakumar Devaraj, jawatankuasa pemantau itu dilihat sangat penting dalam membantu Jabatan Perhutanan Perak dan Jabatan Alam Sekitar dalam memastikan syarikat yang terlibat mematuhi beberapa peraturan termasuklah Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA).

Menurutnya, menerusi pemantauan tersebut, teguran dapat diberikan kepada pihak berkaitan supaya kesan negatif projek berkenaan dapat diminimumkan.

Artikel Berkaitan:

Pihaknya juga mencadangkan agar jawatankuasa berkenaan turut melibatkan wakil-wakil kampung berhampiran termasuk Orang Asli sebagai ahli.

"Kita memahami kekangan dihadapi pihak berkuasa terutamanya berkaitan kekurangan kakitangan. Jadi kami amat mengalu-alukan kerjasama ini bagi membantu pihak berkuasa dalam memastikan projek ini dibangunkan secara lestari.

"Sehubungan itu, kita mengharapkan satu mesyuarat bersama dapat diadakan bersama-sama NGO yang terlibat bagi merealisasikan penubuhan jawatankuasa pemantau ini," katanya.

Sementara itu, Bendahari Sahabat Ekologi Perak, Noreha Yussof turut mencadangkan agar dana bencana diwujudkan melalui sumbangan syarikat-syarikat yang terlibat dengan projek ladang hutan tersebut.

Katanya, dana bencana tersebut amat penting untuk digunakan jika berlaku sebarang kesan akibat projek ladang hutan berkenaan tanpa menggunakan peruntukan kerajaan negeri mahupun mana-mana agensi.

Jelas Noreha, satu akaun khas dana bencana harus diwujudkan di bawah seliaan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar yang boleh digunakan untuk kebajikan penduduk setempat jika berdepan bencana disebabkan projek berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!