Jawatankuasa Fatwa Perlis isytihar ajaran GISBH sesat

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan, ajaran yang dibawa juga adalah kesinambungan ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

"Pegangan kumpulan GISBH yang mengkultuskan pemimpin atau tokoh-tokoh agama yang mereka percaya sehingga melampaui batasan ke tahap seakan menyamakan kedudukan setaraf Nabi SAW atau mempunyai keajaiban atau mengetahui perkara yang ghaib seakan Tuhan adalah fahaman yang bersifat batiniyyah, menyeleweng dan sesat.

"Kesan dan akibat daripada pengkultusan itu melahirkan ketaksuban yang melampau sehingga mentaati pemimpin atau golongan agama jelas bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Beliau turut memaklumkan, model ekonomi yang diamalkan GISBH bukan model ekonomi Islam sebenar dan bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam.

"Ini kerana ia mempunyai unsur penindasan dan perhambaan terhadap mereka yang terlibat serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak, wanita dan keluarga demi kepentingan pihak yang dikultuskan.

"Dengan ini segala ajaran, aktiviti dan apa sahaja yang boleh membantu syarikat itu adalah dilarang.

"Jawatankuasa juga mencadangkan masyarakat Islam perlu membantu pemulihan ahli-ahli GISBH yang ingin keluar dari kesesatan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau turut menjelaskan, peruntukan zakat di bawah fi sabilillah, al-riqab dan fakir miskin boleh digunakan untuk membantu pemulihan seperti pembiayaan pendidikan, pembinaan semula kehidupan, perlindungan keselamatan, bantuan guaman berkaitan pembebasan diri dari GISBH serta pembiayaan dakwah pemurnian akidah.

Malah menurutnya, masyarakat Islam perlu mengambil sikap positif dalam usaha membantu bekas-bekas ahli GISBH untuk keluar dari belenggu kesesatan.

"Sekolah yang mempunyai manhaj pengajian Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar hendaklah membantu mengambil anak-anak GISBH untuk diberikan pendidikan sepatutnya.

"Badan-badan swasta juga boleh membantu untuk memberi peluang pekerjaan supaya mereka dapat hidup seperti masyarakat Islam yang lain.

"Dalam masa sama, semua pihak hendaklah bersama memantau bagi memastikan mereka tidak kembali kepada ajaran sesat tersebut," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!