PIBG cadang bina tembok halang limpahan air sungai

Zainol Abidin menunjukkan cadangan tembok yang akan dibina bagi mengelakkan limpahan air sungai masuk ke kawasan sekolah.
Zainol Abidin menunjukkan cadangan tembok yang akan dibina bagi mengelakkan limpahan air sungai masuk ke kawasan sekolah.
A
A
A

KUBANG PASU - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, Changlun dekat sini mencadangkan pembinaan tembok konkrit bagi menghalang limpahan air sungai masuk ke kawasan sekolah.

Yang Dipertua PIBG, Zainol Abidin Mohamad berkata, setiap kali hujan lebat, limpahan air dari Sungai Laka berkenaan akan menyebabkan sekolah terbabit sering dilanda banjir.

Menurutnya, penyelesaian jangka panjang perlu dilakukan untuk mengelakkan kerosakan harta benda sekolah berkenaan.

"Kejadian banjir yang melanda kawasan Changlun baru-baru ini juga telah menyebabkan sekolah terjejas dan merosakkan kerusi, meja serta lain-lain harta benda.

"Kemudian kita nak kena cuci kawasan sekolah kena guna tenaga guru dan ibu bapa," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, sekiranya tembok dinding konkrit sepanjang 100 meter itu dapat dibina ia dapat menjadi penghadang limpahan air sungai daripada memasuki kawasan sekolah seterusnya dapat menjamin kebajikan dan keselamatan murid.

"Untuk langkah awal kita akan kemukakan cadangan ini kepada Jabatan Pendidikan Negeri dan seterusnya kepada Kementerian Pendidikan untuk mendapatkan peruntukkan yang dianggarkan berjumlah RM50,000," jelasnya.

Zainol Abidin yang juga Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) negeri Kedah berkata, perancangan itu perlu dilaksanakan secepat mungkin untuk mengelakkan masalah berkenaan berulang.

Artikel Berkaitan:

“Jadi kita harap pihak kerajaan akan memberikan sedikit perhatian kerana sekolah ini agak ternama di peringkat negeri dan kebangsaan, ia juga adalah sekolah tertua di Kedah yang menerima pelbagai pencapaian,” katanya.

Sementara itu, Zainol Abidin berkata, sekolah berkenaan telah bersedia untuk sesi persekolahan Ahad ini selepas dibersihkan pada pagi Khamis.

"Alhamdulillah, guru dan ibu bapa di sekolah ini memang sepakat, jadi mereka telah bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah yang terjejas air banjir," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!