UniSZA sentiasa bantu pelajar kurang berkemampuan

UniSZA
UniSZA
A
A
A

KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sentiasa memberi peluang dan menerima pelajar miskin serta kurang berkemampuan untuk menyambung pelajaran di universiti berkenaan.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Fadzli Adam menyatakan pihaknya turut komited dalam memberi bantuan kewangan pengajian, biasiswa dan zakat pengajian serta penangguhan yuran pendaftaran kepada pelajar yang tidak berkemampuan terutama pelajar yang baru mendaftar di UniSZA.

"UniSZA juga telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) bagi memberi peluang kepada pelajar daripada golongan berpendapatan rendah (B40) di Terengganu untuk melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi.

"Kerjasama diwujudkan untuk memberi peluang kepada pelajar kategori B40 (anak Terengganu) untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang berkaitan serta memberi peluang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) bagi melanjutkan pengajian di UniSZA," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengarahkan semua pentadbir universiti menerima masuk pelajar miskin dan daif, termasuk menangguhkan bayaran yuran pendaftaran mereka.

Zambry turut mengarahkan pihak universiti menguruskan bantuan awal pengajian melalui PTPTN kepada golongan mahasiswa berkenaan.

Mengulas lanjut, Fadzli berkata, pihaknya telah membantu seramai 331 pelajar diploma dan 492 pelajar sarjana muda dari golongan B40 melalui program yang dijalankan bersama YDSM sejak 2019.

"Merujuk kepada saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir kepada semua pentadbir universiti untuk menerima masuk pelajar miskin dan daif termasuk menangguhkan bayaran yuran pendaftaran maka UniSZA sememangnya sentiasa bersedia untuk menjayakan usaha tersebut," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!