NCSM Melaka sasar kumpul dana RM100,000 bantu pesakit kanser

Banu (empat, kiri) menunjukkan kemeja-T yang akan diberikan kepada peserta program itu.
Banu (empat, kiri) menunjukkan kemeja-T yang akan diberikan kepada peserta program itu.
A
A
A

MELAKA - Prihatin dengan nasib pesakit kanser yang memerlukan kos rawatan, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Melaka mengadakan program amal 'Neon Walk Catch A Smile 4.0' dengan menyasarkan kutipan dana kira-kira RM100,000.

Pengurus Kanannya, M Banu berkata, penganjuran program kali keempat yang akan berlangsung pada 5 Oktober depan di pekarangan Bangunan The Stadhuys itu turut disertai bersama peserta dalam kalangan pesakit kanser.

Menurutnya, setakat ini terdapat seramai 1,000 peserta telah membuat pendaftaran dan berharap orang ramai tanpa mengira had umur dapat menyertai acara berjalan kaki itu untuk membantu golongan memerlukan.

"Jika sasaran ini dicapai, ia akan digunakan sepanjang tahun depan untuk keperluan pesakit kanser terutamanya daripada kumpulan B40 yang terpaksa berulang-alik untuk rawatan dari Melaka ke ibu negara.

"Kos diperlukan pula bagi setiap pesakit pula adalah antara RM500 hingga RM1,000 bergantung kepada tahap dan jumlah rawatan diperlukan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.

Banu (tengah) bersama sebahagian ahli jawatankuasa termasuk ahli Lion's Club of Tanjung Bidara ketika pertemuan di pejabat NCSM di Melaka pada Jumaat.
Banu (tengah) bersama sebahagian ahli jawatankuasa termasuk ahli Lion's Club of Tanjung Bidara ketika pertemuan di pejabat NCSM di Melaka pada Jumaat.

Mengulas lanjut Banu berkata, pada program itu juga pihaknya akan menyediakan khidmat saringan kanser dengan bertujuan mengesan penyakit itu di peringkat awal agar rawatan segera dapat dilakukan.

"Kebimbangan kita pada masa kini adalah peningkatan pesakit kanser seperti payudara, pangkal rahim, usus, paru-paru dan prostat justeru kita berharap kesedaran masyarakat tentang kepentingan saringan awal ini supaya dapat mencegah sel kanser merebak dan dapat menyelamatkan nyawa," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu beliau berkata setiap peserta hanya perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM50 berserta kemeta-T, selain pelbagai hadiah cabutan bertuah menarik turut disediakan.

Orang ramai yang ingin menyertai Larian Neon atau Neon Walk 4.0 boleh mendaftar secara dalam talian dengan menghubungi talian 012-6398030 (Josephine Tan) dan 019-2217921 (Gan TK).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!