Tiada bantuan kewangan buat mangsa banjir di Pulau Pinang - KM

Kon Yeow (dua dari kanan) ketika meninjau pembukaan pakej 12A, Loji Rawatan Air Sungai Dua pada Jumaat.
Kon Yeow (dua dari kanan) ketika meninjau pembukaan pakej 12A, Loji Rawatan Air Sungai Dua pada Jumaat.
A
A
A

TASEK GELUGOR - [DIKEMAS KINI] Tiada penyaluran bantuan wang tunai kepada mangsa banjir di negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai dasar untuk menyalurkan bantuan wang tunai kerana sukar untuk mengenal pasti mangsa-mangsa banjir yang sebenar.

"Kita tak ada dasar sedemikian (bantuan kewangan) kerana selama ini kita susah nak kenal pasti siapakah mangsa banjir.

"Mengikut apa yang diamalkan sebelum ini, penubuhan pusat pemindahan banjir adalah tujuan untuk memindahkan mangsa-mangsa banjir kilat ke pusat ini dan bantuan seperti makanan dan minum serta khemah tempat rehat dan tidur disediakan seperti biasa," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan pakej 12A, Loji Rawatan Air Sungai Dua, di sini pada Jumaat.

Kon Yeow berkata, melihat kepada perubahan cuaca yang semakin pulih, beliau menjangkakan orang ramai yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) akan boleh pulang ke kediaman masing-masing dalam tempoh sehari dua lagi.

Pada Jumaat seramai 556 mangsa banjir dari 152 keluarga masih ditempatkan di tujuh PPS yang masih dibuka di negeri ini.

Pada Khamis, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, kerajaan negeri telah menggerakkan agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Zakat Pulau Pinang (ZPP) untuk melihat keperluan mangsa banjir terutama mereka yang ditempatkan di PPS di seluruh negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!